arena

Mourinho hangatkan Stamford Bridge

Oleh Reuters

MANCHESTER: Ulasan ‘ia bukan berkenaan saya’ oleh pengendali Manchester United Jose Mourinho selepas kebangkitan 3-2 ke atas Newcastle United mungkin tidak akan berulang Sabtu ini apabila dia kembali ke laman kelab lamanya, Chelsea.

Kata-kata Mourinho yang diucapkan selepas penyokong United melaungkan namanya sebagai penghargaan di atas kemenangan 3-2 itu, memberi gambaran terhadap sokongan kepadanya selepas kedudukannya di Old Trafford mula diperkatakan, namun tumpuan sekali lagi terarah kepada pengendali dari Portugal itu Sabtu ini.

Daripada cara kemenangan United, dengan tiga gol dalam tempoh 20 minit terakhir menerusi serangan habis-habisan, menimbulkan persoalan sama ada dia akan menerapkan gaya permainan lebih positif selepas ini.

Berdasarkan sejarah Mourinho, ia mungkin tidak akan berlaku dan pertemuan dengan anak buah Maurizio Sarri di Stamford Bridge yang berada pada prestasi terbaik pastinya menyukarkan lagi pendekatan berani sebegitu.

Chelsea di tangga kedua masih belum tewas, berkongsi mata dengan penyandang juara Manchester City dan Liverpool dan dengan penyerang Belgium Eden Hazard berada pada kemuncak prestasi, mereka turun sebagai pasukan pilihan.

United sudah ketinggalan tujuh mata di belakang tiga pasukan teratas itu selepas tewas kepada Brighton and Hove Albion dan West Ham United di tempat lawan serta Tottenham Hotspur di laman sendiri, dan Mourinho pastinya tidak mahu tewas pada pertemuan di barat London itu.

Mourinho sebelum ini memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris sepanjang dua kali menjadi pengendali Chelsea.

Bekas pengendali Porto dan Real Madrid itu terkenal dengan corak permainan bertahan apabila bertandang ke laman pasukan besar dan sebarang harapan untuk melihat dia mengulangi corak agresif di babak kedua bertemu Newcastle mungkin tipis.

Manchester City dijangka mudah menambah tiga mata lagi di laman sendiri bertemu Burnley yang akan menampilkan bekas penjaga gol mereka Joe Hart.

Pengendali Liverpool Jurgen Klopp juga dijangka pulang dengan mata penuh apabila berdepan Huddersfield Town kendalian rakan baiknya David Wagner Sabtu ini.

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 12:12pm
d