arena

Sabah hilang tiga tonggak

Oleh Ryan Stanley

KOTA KINABALU: Persiapan Sabah menentang Perak pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Likas, di sini Ahad ini, sedikit terjejas selepas tiga tonggak pasukan itu mengalami kecederaan.

Pengendalinya, Jelius Ating berkata, pemain itu adalah ketua pasukan, Rawilson Batuil, Azzizan Nordin dan penyerang import dari Puerto Rico, Hector Ramos.

“Rawilson sebelum ini membatalkan hasrat menyertai skuad kebangsaan kerana cedera manakala Azzizan yang menyertai kem latihan pasukan negara juga terpaksa digugurkan kerana mengalami nasib sama.

“Begitu juga dengan Ramos, dia kembali ke negara asalnya untuk menyertai pasukan kebangsaan Puerto Rico namun kembali ke sini dengan kecederaan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, hari ini.

Jelius berkata, walaupun masih ada masa buat tiga pemain itu menjalani proses pemulihan, namun beliau mengakui seorang atau dua daripada mereka mungkin tidak sempat sembuh sepenuhnya sebelum bertemu Perak.

“Memang persiapan kami agak terjejas dengan masalah kecederaan ini, namun kami juga perlu percaya dengan semua pemain yang ada,” katanya.

Sementara itu, Jelius berkata, perlawanan menentang Perak satu misi paling sukar dihadapi Sabah musim ini.

Bagaimanapun, beliau tetap mahu anak didiknya melakukan yang terbaik kerana baginya, dalam bola sepak apa saja boleh berlaku.

“Ketika saya bermain dulu, kami pernah menang dengan jumlah gol yang banyak di Likas seperti membelasah Terengganu 8-2 dan Selangor 5-1, oleh itu misi ini (mengatasi Perak) bukan mustahil walaupun kami sedar ia sukar,” katanya.

Sabah kecundang 0-5 pada separuh akhir pertama di Ipoh, dua minggu lalu.

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 7:48pm
d