arena

Halep lupakan Pusingan Akhir Jelajah WTA

Oleh AFP

SINGAPURA: Pemain nombor satu dunia, Simona Halep menarik diri daripada Pusingan Akhir Jelajah WTA di sini berikutan kecederaan belakang.

Juara Terbuka Perancis itu menarik diri daripada Terbuka China bulan lalu selepas beraksi selama 31 minit dan kemudian tidak beraksi pada kejohanan Piala Kremlin kerana masalah sama.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata, dia berharap dapat beraksi pada saingan penamat musim itu yang bermula Ahad ini, namun terpaksa membuat keputusan yang sukar bagi memberi keutamaan terhadap kesihatannya.

“Pastinya sukar apabila anda terpaksa menarik diri daripada kejohanan besar,” kata pemain dari Romania itu yang mengalami kecederaan di Wuhan bulan lalu.

“Kecederaan belakang saya masih belum OK. Saya tidak menjalani latihan selama empat minggu.

“Saya belum bersedia untuk beraksi pada tahap ini dan masih terasa sakit,” katanya.

Keputusan Halep menarik diri bermakna Kiki Bertens dari Belanda naik ke tangga kelapan yang juga kedudukan terakhir layak beraksi pada Pusingan Akhir WTA.

Halep melalui penghujung musim yang mengecewakan ketika berada di ranking pertama dunia untuk tahun kedua.

Dia bertahan selama 40 minggu di tangga teratas tahun ini dengan memenangi tiga kejuaraan daripada enam penampilan.

Tahun ini Halep menjuarai Terbuka Shenzhen, Piala Rogers dan Grand Slam di Roland Garros. Dia juga melangkah ke final Terbuka Australia, kejohanan di Rome dan Cincinnati.

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 8:47pm
d