arena

Wee Wern terus kemaraan

Oleh Fadhli Ishak

KUALA LUMPUR: Pilihan utama, Low Wee Wern tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir skuasy Terbuka Q yang menawarkan hadiah bernilai  AS$5,500 (RM22,869) di Queensland, Australia hari ini.

Wee Wern yang menduduki ranking ke-54 dunia, hanya memerlukan 17 minit untuk menewaskan pemain tuan rumah, Challen Stowell 11-4, 11-1, 11-4 pada pusingan kedua di Pusat Skuasy Carrara.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang sudah memenangi tiga daripada empat kejohanan PSA sejak kembali pulih daripada kecederaan yang menyaksikannya terpaksa berehat selama 20 bulan, dijangka akan meneruskan aksi konsistennya di Australia.

Dia melakar kemenangan berturut-turut di Terbuka Tasmania dan Australia pada Julai serta awal Ogos.

“Sudah tentu sangat bagus dapat meneruskan rentak kemenangan di sini. Saya cuba menyesuaikan diri dengan gelanggang di set pertama dan kemudian ia bertambah baik selepas itu,” katanya.

Wee Wern yang mendapat bye di pusingan pertama, akan bertemu seorang lagi pemain Australia yang juga pilihan ketujuh, Selena Shaikh untuk merebut tempat ke separuh akhir.

“Saya pernah bertemunya sekali sebelum ini dan memenangi perlawanan itu tetapi kini dia beraksi di tempat sendiri. Jadi saya perlu berikan yang terbaik,” katanya.

Satu-satunya perlawanan membabitkan kedua-dua pemain itu adalah pada kempen kelayakan Terbuka Tasmania, Julai lalu yang menyaksikan Wee Wern mencatat kemenangan 11-8, 11-3, 11-4.

Sementara itu, satu lagi perlawanan pusingan kedua menyaksikan Ooi Kah Yan menewaskan rakan senegara dari Malaysia, Angie Ooi 11-4, 11-7, 11-5 manakala Aika Azman juga menewaskan wakil tuan rumah, Courtney Mather 11-7, 11-1, 11-5.

Kah Yan bakal bertemu Taylor Flavell sementara Aika bertemu pemain dari New Zealand, Abbie Palmer di suku akhir esok.

Saingan lelaki pula menyaksikan Bryan Lim dan Asyraf Azan yang meraih bye di pusingan pertama, bertemu pemain Filipina, Robert Andrew dan wakil tuan rumah, Eugene Heng di pusingan kedua esok.

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 9:40pm
d