arena

Usah percaya 'auta' Klopp

Oleh Reuters

LONDON: Pengendali Huddersfield Town David Wagner menjangkakan Liverpool akan turun dengan skuad terbaiknya pada pertembungan Liga Perdana Inggeris esok, sambil menganggap rakan sejawatnya Juergen Klopp cuba mengaburi kekuatan sebenarnya dengan masalah kecederaan.

Wagner menolak kemungkinan yang Liverpool akan tampil tanpa beberapa tonggak utamanya selepas kecederaan dikutip Mohamed Salah (pangkal paha), Virgil van Dijk (rusuk) dan Naby Keita (otot) ketika menggalas tugas bersama negara.

Sadio Mane turut menjalani pembedahan di tangannya dan diragui dapat beraksi menentang Huddersfield yang kini bergelut di kelompok bawah liga.

Wagner, bekas rakan sepasukan Klopp dalam kelab Jerman Mainz pada era 90-an, berkata rakannya itu mungkin menggunakan taktik lamanya.

“Saya cukup kenal Juergen untuk saya tahu yang dia suka mengaburi penilaian pihak lawan,” kata Wagner yang pernah mengendali pasukan kedua di Borussia Dortmund ketika Klopp membimbing skuad senior.

“Jangan percaya apa yang anda baca – saya jangkakan kebanyakan pemainnya akan kembali beraksi Sabtu ini.”

Liverpool bermula garang musim ini dengan mengutip 20 mata daripada lapan perlawanan dan berada di tangga ketiga sebagai salah satu daripada tiga pasukan teratas yang belum tewas pada kempen kali ini.

Huddersfield sebaliknya mengisi kelompok tiga tercorot dan kekal dengan rekod tanpa kemenangan setakat ini.

 

Disiarkan pada: October 19, 2018 @ 9:57am
d