arena

Prestasi senior kecewakan Poad

Oleh Aida Adilah Mat

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut Mohd Poad Kassim meluahkan rasa tidak puas hati dengan pencapaian atlet senior di bawah bimbingannya.

Ia termasuk aksi yo-yo raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan yang dirasakannya perlu dipertingkatkan bagi menghadapi temasya Sukan SEA di Manila tahun depan dengan saingan sengit dijangka diterima daripada juara remaja dunia Lulu Muhammad Zohri dari Indonesia.

Bagaimanapun Poad yakin prestasi dua lagi pelari senior Zulfiqar Ismail dan Haiqal Hanafi dapat dipertingkatkan.

“Secara keseluruhan prestasi atlet senior kurang memuaskan tapi ia boleh dipertingkatkan.

“Tapi saya bangga dengan pencapaian atlet remaja seperti Ilham Suhaimi yang berjaya mencipta rekod baru SUKMA (Sukan Malaysia) di Perak baru-baru ini,” katanya.

Semua atlet di bawah bimbingan Poad akan tampil buat kali terakhir tahun ini pada Kejohanan Olahraga Terbuka Innotek di Bukit Jalil bulan depan.

Khairul Hafiz yang juga pemegang rekod kebangsaan dalam acara 100 meter dengan catatan 10.18 saat akan kembali turun ke trek selepas dua bulan berehat.

Kejohanan pada 17 dan 18 November itu menyaksikan semua atlet di bawah bimbingan Poad akan beraksi.

Disiarkan pada: October 19, 2018 @ 4:20pm
d