arena

Lopetegui 'tenang'

MADRID: Jurulatih Real Madrid, Julen Lopetegui berkata hari ini bahawa dia berasa “bagus” dan “tenang” mengenai masa depannya di kelab itu walaupun melalui empat perlawanan tanpa kemenangan.

“Saya rasa bagus, saya jurulatih Real Madrid itu, tekanannya pada tahap maksimum,” kata Lopetegui pada sidang akhbar menjelang pertemuan Liga menentang Levante, esok.

Real kini berkedudukan keempat La Liga dan tidak menjaringkan gol dalam tempoh enam jam 49 minit, kemarau paling teruk sejak 1985. 

Media Sepanyol membuat spekulasi bahawa jurulatih dari Itali, Antonio Conte, yang meninggalkan Chelsea pada musim panas lalu, boleh menggantikan Lopetegui jika prestasi berkenaan tidak boleh ditingkatkan.

Ditanya jika dia merasakan dia mendapat sokongan kelab, Lopetegui berkata dia “sangat tenang” dan menambah: “Anda perlu hidup dengan turun naik seperti semua ini sepanjang musim sambil mengetahui bahawa kami adalah pasukan yang boleh mencapai sebarang tahap dan ramuannya ialah terus bekerja keras dan percaya.

“Kami kini fokus untuk perlawanan esok,” katanya. “Kami tahu musim ini ada persoalan untuk semua pasukan. Bagaimana musim ini akan berlangsung, tiada siapa tahu. Kami perlu menang di atas padang.”

Real terlebih dulu akan memulakan saingan dalam liga. Atletico, kini berkedudukan ketiga, bermain selepas itu. Pendahulu, Sevilla, dua mata di depan Real, berkunjung ke pasukan tangga kedua, Barcelona pada sebelah malam.

 

Disiarkan pada: October 19, 2018 @ 9:42pm
d