arena

Wajar iktiraf sijil Pra-U setaraf diploma

Oleh Firdaus Hashim

SERDANG: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran mengiktiraf sijil pelajar Pra-Universiti (pra-u) Sekolah Sukan Malaysia (SSM) sebagai diploma bagi membantu mereka yang kurang menyerlah dalam sukan dan akademik untuk jaminan masa depan lebih cerah.

Pandangan itu disuarakan bekas pengetua Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Wan Ibrahim Wan Chik yang menyifatkannya sebagai alternatif wajar bagi membantu pelajar yang berdepan hala tuju tidak menentu selepas menamatkan pengajian.

Jelasnya, dengan sijil matrikulasi juga sudah diiktiraf dan boleh digunakan untuk memohon pekerjaan dalam perkhidmatan awam, jadi tidak keterlaluan jika cadangan itu turut dipertimbangkan KPM untuk membantu graduan yang ‘hanyut’ untuk mendapatkan kehidupan pasca-atlet yang lebih baik.

“Saya pernah mengutarakan perkara ini ketika masih bergelar pengetua, namun sayang tiada yang ambil peduli,” katanya yang memegang jawatan sebagai pengetua SSTMI selama 10 tahun dari 2004-2014.

“Bagi saya, dengan menaikkan taraf kelayakan akademik selepas pra-u itu mungkin dapat membakar semangat mereka supaya turut mengutamakan pelajaran kerana jika tiada tempat dalam sukan, setidak-tidaknya mereka ada diploma untuk mencari pekerjaan.

“Saya akui bukan semua bekas pelajar sekolah sukan dapat menjadi atlet kebangsaan seperti yang diimpikan. Tapi, mungkin dengan cara ini ia dapat membantu kelompok ini berkembang meskipun dalam bentuk berbeza.”

Menurut Wan Ibrahim, pengiktirafan itu juga bagi meningkatkan ‘pasaran’ pelajar pra-u sekolah sukan kerana dengan kelayakan bertaraf diploma, sudah tentu mereka boleh mencari peluang kerjaya yang lebih baik berbanding hanya sekadar sijil untuk mencari pekerjaan.

Malah, katanya lebih baik sekiranya diploma yang akan diberikan sejurus selesai pengajian pra-u itu turut diletakkan pengkhususan bersesuaian dengan bidang sukan bagi memudahkan urusan mereka mencari kerja khususnya buat kelompok yang tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

Ketika ini, pelajar Sekolah Sukan yang menamatkan pengajian mereka di peringkat tingkatan lima menyambung pelajaran sebagai pelajar pra-u dengan rata-rata daripada mereka kemudiannya memasuki universiti untuk memperoleh ijazah.

Tetapi masalah timbul apabila pelajar tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti dan pada masa sama, keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula tidak begitu baik. 

Mengulas lanjut isu kegagalan bekas pelajar sekolah sukan, Wan Ibrahim tidak menolak kemungkinan kekurangan dana diterima SSM membantutkan usaha sekolah untuk mengembangkan bakat semua pelajar sehingga ada antara mereka yang terpaksa disisihkan.

“Bayangkan dengan bajet sekitar RM200,000 setahun (pada 2014) digunakan untuk perkembangan berbelas jenis sukan dan fasiliti, sudah tentu hanya jumlah tertentu atlet berpotensi yang dapat diberikan perhatian dan mereka yang kurang menyerlah akhirnya terlepas pandang.

“SSM perlu diberi dana yang secukupnya untuk program pembangunan supaya kita dapat mengembangkan bakat semua pelajar yang kita ada. Kalau potensi semua pemain dapat dikembangkan, sukar untuk kita melihat pelajar sekolah sukan yang gagal dalam bidang masing masing.

“Dengan kekurangan dana, pelajar merasakan tiada keistimewaan dan mereka sambil lewa sahaja jadi faktor ini menjadi penyumbang kepada kegagalan mereka bukan sahaja dalam bidang sukan malah dalam akademik,” katanya.

 

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 10:05am
d