arena

City sedia lamar De Jong

Oleh Agensi

LONDON: Manchester City menyuarakan minat bagi mendapatkan khidmat bintang Ajax Amsterdam dan Belanda, Frankie de Jong pada musim panas akan datang.

Pengurus City, Pep Guardiola membuat keputusan untuk menandatangani pemain tengah itu selepas usahanya bagi membawa masuk Joginho gagal, apabila pemain itu memilih untuk menyertai Chelsea.

City ketika ini memantau perkembangan De Jong secara rapat, tetapi dijangka mendapat saingan dalam usaha membawa masuk pemain muda berbakat Eropah itu.

Barcelona sebelum ini turut menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 21 tahun itu dengan legenda kelab berkenaan, Xavi membandingkannya dengan Sergio Busquets.

Ajax dijangka meletakkan tanda harga sekitar 70 juta pound (RM380.3 juta) untuk De Jong sekali gus bakal menyaksikan City perlu mengatasi rekod perpindahn tertinggi kelab itu.

Sebelum ini, City membeli Riyad Mahrez daripada Leicester City dengan yuran perpindahan 60 juta pound (RM326 juta).

City tidak berhasrat untuk membeli pemain tengah pada pintu perpindahan Januari depan, biarpun mereka boleh melakukannya jika Guardiola mengalami krisis kecederaan pemain.

Selain De Jong, juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu turut memantau perkembangan pemain tengah Wolverhampton, Ruben Neves.

Dalam pada itu, Guardiola mengesahkan kelab berkenaan sedang mengadakan rundingan bagi melanjutkan kontrak pemain sayap, Raheem Sterling.

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 10:42am
d