arena

Kes doping lebih dari dua

Oleh Aida Adilah Mat

KUALA LUMPUR: Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mengesahkan lebih daripada dua kes membabitkan penyalahgunaan bahan terlarang dikesan pada temasya Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA) Perak lalu. 

Perkara itu dimaklumkan Penolong Pengarah ADAMAS Nishel Kumar selepas dua kes membabitkan atlet angkat berat dan terbaru judo. 

Beliau turut memaklumkan masih terdapat beberapa lagi sampel sedang diuji di makmal dan jumlah sebenar atlet yang gagal hanya akan dimaklumkan Selasa ini. 

“Ada tambahan kes positif membabitkan bahan terlarang. Tapi Adamas masih lagi menunggu beberapa lagi sampel daripada makmal.

“Ia membabitkan beberapa kategori kes yang meragui dan lab meminta sedikit masa sebelum pengesahan dilakukan,” katanya. 

Nishel berkata, antara bahan yang dikesan adalah bahan perangsang dan biarpun ia bukan steroid namun boleh memberi kelebihan kepada pengguna yang mengambilnya. 

Bagaimanapun hukuman hanya boleh dijatuhkan oleh persatuan masing-masing dan bukannya di bawah bidang kuasa Adamas. 

“Maksimum hukuman penggunaan bahan perangsang itu adalah empat tahun bagaimanapun ia terpulang kepada niat atlet itu sama ada dia sengaja atau tidak.

“Sama seperti kes penjaga gol hoki negara, S Kumar, bahan yang sama tapi Kumar berjaya membuktikan dia tidak sengaja jadi hukuman boleh dikurangkan kepada dua tahun,” katanya. 

 

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 7:11pm
d