arena

'Bye-bye FELDA'

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Pemotongan gaji sehingga 60 peratus memaksa pengendali FELDA United, B Sathianathan mengucapkan selamat tinggal kepada kelab itu dengan beliau bersedia membuka pintu rundingan untuk membimbing pasukan lain musim depan.

Jelas Sathianathan, penstrukturan kewangan yang menyaksikan pemotongan besar terhadap gajinya tidak boleh diterima ketika beliau begitu cemerlang memimpin pasukan itu sepanjang musim ini dengan berjaya menjuarai Liga Perdana.

“Mesyuarat bersama pihak pengurusan semalam, mereka mahu memotong 60 peratus daripada gaji saya yang diterima ketika ini. Kalau 10 peratus atau 15 peratus saya boleh terima lagi.

“Jumlah pemotongan sebanyak itu tak masuk akal sedangkan saya sudah berikan keputusan cemerlang dengan membawa pasukan menamatkan kedudukan Liga Super musim lalu di tangga ketiga selepas mengambil alih pasukan di pertengahan liga ketika itu.

“Musim lalu juga kami mara hingga ke separuh akhir Piala Malaysia dan rentak itu diteruskan pada musim ini apabila kami memenuhi sasaran pengurusan iaitu muncul juara Liga Perdana.

“Malah, saya juga seorang jurulatih berpengalaman dan memiliki lesen AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) Pro A dan sijil UEFA. Jadi saya ucapkan selamat berjaya kepada FELDA United untuk musim depan,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Jelas bekas pengendali Harimau Malaya itu, perancangan pengurusan yang mahu menggunakan lebih ramai pemain muda juga baginya tidak relevan terutamanya apabila bersaing di Liga Super.

“Kita lihat contoh macam pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan yang menggunakan terlalu ramai pemain muda, mereka gagal bersaing dan akhirnya tersingkir ke Liga Perdana pada musim depan.

“Saya bukan mahu berikan alasan, tetapi kita kena realistik kerana cabaran di Liga Super berbeza. Saya sukakan pasukan yang mempunyai misi dan visi untuk mencabar kejuaraan. Kalau main di Liga Perdana kita mahu layak ke Liga Super, manakala main di Liga Super kita mahu berada dalam tiga kelompok terbaik.

“Saya inginkan pasukan yang boleh mencabar JDT (Johor Darul Ta’zim), Pahang ataupun Terengganu. Tapi kalau setakat bermain untuk memberi pendedahan saya tak berminat,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 8:03pm
d