arena

Barkley penyelamat Chelsea

Oleh Agensi

LONDON: Jaringan lewat Ross Barkley berjaya menyelamatkan maruah Chelsea daripada dimalukan Manchester United di gelanggang sendiri selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2, sebentar tadi.

Malah, keputusan itu juga menyaksikan Chelsea kekal dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi sembilan perlawanan liga musim ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stamford Bridge itu, Chelsea yang turun dengan rekod bersih tanpa kalah dalam lapan perlawanan liga mempamerkan aksi meyakinkan sebaik perlawanan bermula.

Malah, anak buah Maurizio Sarri berjaya berada di depan hasil jaringan Antonio Rudiger pada minit ke-24 selepas menyempurnakan hantaran Willian.

United yang menghuni kedudukan pertengahan liga selepas mempamerkan prestasi tidak konsisten sepanjang musim ini terpaksa menunggu hingga minit ke-55 untuk menyamakan kedudukan menerusi Martial.

Martial sekali lagi membuktikan sentuhan berbisanya apabila meledak gol kedua apabila menyudahkan hantaran Marcus Rashford pada minit ke-73.

Tersentak dengan jaringan itu, Chelsea cuba bangkit dengan beberapa gerakan namun gagal menemui penyudah untuk menyamakan kedudukan.

Ketika perlawanan dilihat bakal memihak United, Barkley akhirnya melegakan kem Chelsea apabila meledak gol penyamaan pada masa tambahan selepas berlaku kelam kabut di depan pintu gol.

Keputusan itu menyaksikan Chelsea mengumpul 21 mata hasil daripada enam kemenangan dan tiga keputusan seri.

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 9:56pm
d