arena

Wee Wern rangkul gelaran PSA keempat

Oleh Fadhli Ishak

KUALA LUMPUR: Biarpun beraksi dalam keadaan tidak cergas sepenuhnya kerana selesema, pemain skuasy negara Low Wee Wern tidak berdepan masalah untuk merangkul gelaran PSA keempatnya tahun ini di Kejohanan Terbuka Q Queensland, Australia hari ini.

Wee Wern hanya memerlukan 24 minit untuk meranapkan impian pemain tuan rumah Jessica Turnbull 11-6, 11-5, 11-6 di kejohanan yang menawarkan AS$5,500 (RM22,869) di Pusat Skuasy Carrara.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu gembira kerana semuanya mengikut perancangan sejak dia kembali membuat kemunculan semula dalam skuasy.

Wee Wern kini menduduki ranking ke-54 dunia dan berpeluang memperbaiki kedudukan itu selepas senarai kedudukan terkini dikeluarkan tidak lama lagi.

“Saya gembira dapat memenangi gelaran keempat tahun ini dan berharap dengan kemenangan ini akan melayakkan saya beraksi di kejohanan lebih besar,” kata Wee Wern

“Ia sesuatu yang baik buat saya apabila dapat berada di kelompok 50 terbaik menjelang akhir tahun ini kerana itulah yang disasarkan.”

Wee Wern yang bergelut dengan kecederaan beberapa tahun lalu, tampil beraksi buat kali pertama dalam tempoh hampir dua tahun di Kejohanan Kebangsaan awal Julai lalu dan berjaya mara ke perlawanan akhir.

Rentaknya terus konsisten selepas itu apabila memenangi tiga gelaran PSA berturut-turut bermula dengan Terbuka Malaysia, Terbuka Tasmanian dan Terbuka Australia.

Atlet berusia 28 tahun itu dijadualkan bertanding di Hong Kong dan Terbuka Singapura bulan depan.

Kejohanan Terbuka Q itu memberi impak positif buat pemain skuasy wanita negara apabila tiga dari empat wakil negara berjaya ke separuh akhir.

Ooi Kah Yan tewas kepada Wee Wern manakala Aika Azman kalah kepada Jessica.

Disiarkan pada: October 21, 2018 @ 6:30pm
d