arena

Poncharal gembira prestasi Hafizh

Oleh Sukhairi Thani

KUALA LUMPUR: Prinsipal pasukan Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal gembira dengan prestasi pelumbanya Hafizh Syahrin Abdullah yang menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun di tempat ke-10, keputusan kedua terbaik bagi wakil tunggal negara itu dalam kelas MotoGP bagi musim ini.

Malah, Poncharal memuji catatan masa sepusingan dilakukan Hafizh dalam perlumbaan yang baginya boleh dikatakan setara dengan seorang lagi pelumbanya Johann Zarco dan ikon dunia yang bersama pasukan utama Yamaha, Valentino Rossi.

“Ini satu pencapaian yang baik,” kata Poncharal. “Catatan masa sepusingan yang bagus, dia membuat pusingan hampir menyamai dan kadangkala lebih pantas daripada Johann dan Valentino, dan ia membanggakan kami.

Keputusan diraih itu membenarkan Hafizh membawa pulang enam mata berharga tatkala pesaing terdekatnya dalam kedudukan muka baharu terbaik dari Itali, Franco Morbidelli menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 (lima mata).

Dalam senarai muka baharu, Hafizh kini merapatkan jurang dengan pendahulu Morbidelli kepada empat mata tatkala saingan musim hanya berbaki tiga pusingan lagi.

“Franco Morbidelli berjaya melepasi Bradley Smith pada sektor terakhir daripada pusingan akhir, jadi kami hanya mampu mengatasinya dengan satu mata.

“Apapun, kami hanya empat mata di belakangnya dalam kejuaraan, tiga pusingan lagi, jadi ia akan menjadi sesuatu yang sangat menarik.

“Saya fikir dia sudah banyak belajar dan saya sangat berbangga dengan Hafizh,” kata Poncharal.

Minggu ini, saingan dijadual berlangsung di Sirkit Phillip Island, Australia sebelum Litar Antarabangsa Sepang menjadi destinasi seterusnya pada 2 hingga 4 November ini.

 

 

Disiarkan pada: October 22, 2018 @ 11:28am
d