arena

Ozil, Auba robek Leicester

Oleh AFP

LONDON: Pierre-Emerick Aubameyang dan Mesut Ozil mencuri tumpuan dalam perlawanan yang menyaksikan Arsenal meraih kemenangan ke-10 berturut-turut ketika menewaskan Leicester 3-1, awal pagi tadi.

Barisan kendalian Unai Emery bangkit selepas Hector Bellerin menjaringkan gol sendiri pada babak pertama permainan di Stadium Emirates.

Namun Ozil yang mengetuai skuad Arsenal selepas mengalami kecederaan mempamerkan magisnya untuk mencetuskan kebangkitan bergaya Gunners.

Ozil menyamakan kedudukan sebelum rehat babak pertama dan menjadi peranan utama kepada dua gol yang dijaringkan Aubameyang pada babak kedua.

Penyerang Gabon, Aubameyang meledak dua gol dalam masa singkat selepas dibawa masuk daripada bangku simpanan, sekali gus memastikan Arsenal meraih kemenangan ke-10 berturut-turut dalam kesemua kejohanan disertai buat kali pertama sejak 2007.

Mereka sudah meledak 30 gol dalam tempoh itu dan kini melonjak ke tangga keempat dalam carta Liga Perdana Inggeris, hanya dua mata di belakang pendahulu Manchester City.

Pada hari ulang tahun ke-69 buat pengendali sebelum Emery, Arsene Wenger, ini adalah satu aksi yang boleh mengimbau kembali zaman kegemilangan Arsenal di bawah pengendali dari Perancis itu.

Sebaik saja perlawanan, Ozil menyimpulkan permainan Arsenal dengan menulis di Twitter: “Saya fikir kami bermain bola sepak yang seksi pada malam ini. Kapten berbangga dengan pasukan ini.”

Ia satu permulaan positif bagi mengharungi minggu yang sibuk dengan Arsenal dijadual berkunjung ke Portugal untuk perlawanan Liga Europa menentang Sporting Lisbon, Khamis ini sebelum kembali ke saingan domestik di laman Crystal Palace pada Ahad.

“Kami gembira kerana kami terus meningkat. Kami perlu bermain dalam satu organisasi dan kami juga mula bermain dengan sepenuh hati,” kata Emery.

“Hari ini prestasi pasukan dan juga Mesut, adalah sangat bagus.”

Emery sudah mencetuskan impak sejak menggantikan Wenger dan dua kekalahan pada dua perlawanan pertama kendaliannya, kini hanya menjadi satu memori.

Malah, penyokong Gunners juga mula mengimpikan perebutan gelaran selepas meraih kemenangan ketujuh berturut-turut dalam saingan liga.

Bagaimanapun Emery enggan mudah terbawa-bawa dengan kejayaan, dengan berkata: “Adalah penting untuk kekal tenang dan terus meningkat bersama pemain. Untuk meneruskan rentak kemenangan adalah sesuatu yang sukar.

“Apabila kamu meningkat, harapan itu sangat tinggi. Kami perlu mengawal permainan lebih daripada apa yang dilakukan ketika ini.”

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 7:27am
d