arena

Tiket mula dijual Khamis ini

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Pertembungan final Piala Malaysia 2018 antara Terengganu FC (TFC) dengan Perak di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini kian terasa bahang apabila Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengumumkan jualan tiket pada Khamis ini.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, sebanyak 30,000 keping tiket diperuntukkan kepada penyokong setia skuad Penyu yang berminat untuk menyaksikan perlawanan itu.

“Tiket perlawanan akhir Piala Malaysia akan dijual pada Khamis ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Kaunter jualan tiket akan mula dibuka pada jam 10 pagi hingga habis pada hari berkenaan dengan RM50 bagi dewasa manakala bagi kanak-kanak RM10 dan hanya lima keping tiket dibenarkan bagi setiap peminat.

“Bagi penyokong yang jauh pula, mereka boleh membelinya secara dalam talian yang diuruskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebanyak 10,000 keping,” kata Hishamuddin ketika dihubungi.

Dalam pada itu beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri berkata, kejayaan TFC mara ke final Piala Malaysia selepas kali terakhir pada 2011 membangkitkan keghairahan peminat terhadap bola sepak.

“Kami harap kehadiran lebih 30,000 penyokong pada aksi final nanti mampu menyuntik lagi motivasi pemain untuk menjulang piala berprestij itu selepas kali terakhir dimenangi pada 2001.

Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, semua bas milik agensi dan jabatan kerajaan negeri Terengganu telah habis ditempah untuk membawa penyokong skuad Penyu bagi menyaksikan aksi final piala berprestij itu.

“Jumlah sebenar bas belum dapat dipastikan lagi tapi disebabkan bas sudah habis ditempah, beberapa kelab penyokong mengambil inisiatif menyewa bas dari Johor dan Kelantan untuk pergi ke Stadium Shah Alam,” ujar Wan Sukairi.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 10:22am
d