arena

Hafizh berbekal momentum positif

Oleh Sukhairi Thani

KUALA LUMPUR: Sirkit Phillip Island diakui bukan trek terbaik buat Hafizh Syahrin Abdullah namun pelumba MotoGP negara itu bakal menyertai Grand Prix (GP) Australia minggu ini dengan berbekalkan momentum positif di GP Jepun, Ahad lalu.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu menamatkan GP Jepun di tempat ke-10, keputusan kedua terbaik pada musim pertamanya di MotoGP selepas kesembilan di Argentina, April lalu dan ia akan dijadikan azimat untuknya mengharungi saingan mencabar di Phillip Island.

“Saya menantikan perlumbaan di Phillip Island kerana kami baharu saja beraksi dalam perlumbaan yang sangat bagus di Motegi dan kami berada dalam keadaan mengagumkan bersama jentera selain mempunyai rentak yang baik,” kata Hafizh.

Selepas 16 pusingan musim, Hafizh kini bersaing sengit dengan Franco Morbidelli bagi kedudukan muka baharu terbaik MotoGP dan ketinggalan empat mata dari pendahulu dari Itali itu.

“Ia bukanlah trek terbaik saya, tetapi yang pasti, saya akan cuba yang terbaik,” katanya yang turut tidak pernah mengutip mata pada penyertaannya dalam kelas Moto2 di Australia sejak 2014 hingga 2017.

“Saya meletak sasaran untuk berada di depan seteru muka baharu bagi mengurangkan jarak mata. Namun apa yang penting, saya mengharapkan cuaca yang baik di sana.”

Untuk rekod, dalam tempoh empat tahun Hafizh beraksi di Phillip Island dalam kelas Moto2, dia tidak menamatkan dua perlumbaan pada 2014 dan 2016 manakala bakinya berada di tangga ke-16 (2015 dan 2017).

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 11:33am
d