arena

Usah harap Messi sangat

Oleh AFP

BARCELONA: Kebergantungan Barcelona terhadap Lionel Messi akan diuji sekali lagi sama ada mencetus masalah buat kelab itu dalam beberapa minggu akan datang.

Ketika kemenangan Barcelona ke atas Sevilla Sabtu lalu, Messi kelihatan memegang tangan kanannya dalam kesakitan hingga menimbulkan pelbagai kebimbangan dan ternyata kelab itu mengesahkan pemain bintang itu mengalami retak di tulang lengan.

Ketiadaan pemain itu menyebabkan situasi Barca goyah ketika saat mereka memerlukannya, bagi menghadapi perlawanan menentang Inter Milan dalam Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini, aksi Clasico menentang Real Madrid Ahad ini sebelum perlawanan timbal balik menentang Inter Milan di Itali bulan depan.

Jika pemain itu memerlukan lebih masa daripada jangkaan untuk kembali sembuh, dia mungkin turut terlepas dua perlawanan sukar menentang Real Betis dan Atletico Madrid dalam La Liga.

Apabila pengurus Barca, Ernesto Valverde meletakkan Messi di bangku simpanan ketika seri 1-1 di laman sendiri dengan Athletic Bilbao bulan lalu, perlawanan itu berubah hanya selepas pemain itu masuk pada babak kedua bagi membantu gol penyamaan.

“Inilah Barcelona,” kata Messi. “Kami mempunyai pasukan yang kuat dan kami mempunyai cukup kekuatan untuk tidak bergantung kepada seorang pemain.”

Isu sama dibangkitkan musim lalu, apabila Messi sebagai pemain gantian membantu kebangkitan kelab yang sebelum itu ketinggalan dua gol kepada Sevilla sebelum menjaringkan gol pada minit ke-89.

“Secara emosinya, anda tahu apabila ada Messi, dia memberikan kami lebih keyakinan kerana dia pemain terbaik di dunia,” kata pemain pertahanan Gerard Pique. “Tapi ia tidak memberi kesan kepada kami.”

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 4:49pm
d