arena

Yob mahu tamat kemarau 18 tahun

Oleh Azizan Hashim

IPOH: Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berharap mampu menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia kali kelapan kepada The Bos Gaurus apabila mereka bertemu Terengganu FC pada final di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Mereka juga mahu menamatkan kemarau 18 tahun menjulang trofi itu ketika peminat pasukan digelar Kejor Yob Kejor itu dahagakan kejayaan selepas kali terakhir layak ke final pada 2007.

Durakovic berkata, walaupun secara peribadi beliau sudah memenangi Piala Malaysia empat kali, situasi kali ini sedikit berbeza kerana harapannya begitu tinggi untuk menghadiahkan kemenangan buat Perak.

“Tiga kali saya julang Piala Malaysia sebagai pemain iaitu pada 1995, 1996 dan 1997 dan kemudian sebagai jurulatih sekali tiga tahun lalu. Jika boleh kali ini saya mahu julang piala bersama Perak pula,” katanya, yang meraih kejayaan itu bersama Selangor.

Jurulatih berasal dari Australia itu teruja dengan kejayaan The Bos Gaurus mara ke final buat kali ke-18 tambahan pula pasukan itu berada di tangga ketiga dalam ranking paling banyak memenangi piala itu.

“Saya bangga dengan kejayaan ini. Pemain berusaha gigih untuk menempah tiket ke perlawanan akhir. Memang mereka layak beraksi pada final kali ini. Selepas 11 tahun menanti, ini peluang Perak untuk tamatkan kemarau,” katanya.

Perak dan Terengganu pernah bertemu dua kali pada final 1998 dan 2001, kedua-duanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Perak menang 5-3 menerusi penentuan penalti sesudah terikat 1-1 pada final 1998 sebelum Terengganu membalas dendam 2-1 pada 2001.

“Kali ini kami mahu menang. Malah kejayaan ini akan menjadi hadiah paling istimewa sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak lama lagi,” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 8:00pm
d