arena

Bina suasana baharu di BAM

Oleh Fabian Peter

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mahu membina suasana kerja yang mengikut agenda badminton negara.

Choong Hann, yang memulakan tugasnya pada 1 Januari depan, tidak membuang masa apabila bertemu beberapa pemimpin tertinggi badan induk itu di samping barisan jurulatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

Bagaimanapun, bekas pemain negara itu mengakui masih terlalu awal untuk berbincang soal polisi ketika beliau mahu merasai suasana sebelum memutuskan sebarang perubahan.

"Secara jujurnya saya rasa masih terlalu awal untuk bercakap soal polisi dan beberapa perkara penting lain kerana tugas saya hanya akan bermula Januari depan.

"Bagaimanapun, saya secara santai memutuskan untuk bertemu dengan barisan jurulatih. Saya juga bertemu Datuk Ng Chin Chai (setiausaha agung BAM) dan Michelle Chai (pengurus besar BAM) untuk membincangkan soal pentadbiran," kata Choong Hann.

Choong Hann meninggalkan badan induk itu sebagai pemain pada 2008, selepas berakhir Sukan Olimpik Beijing.

Bekas pemain berusia 41 tahun itu yang mempunyai akademi sendiri - Akademi Badminton Pioneer - selepas ini akan melihat program latihan lima ketua jurulatih Misbun Sidek (perseorangan lelaki), Paulus Firman (beregu lelaki), Tey Seu Bock (perseorangan wanita), Rosman Razak (beregu lelaki) dan Pang Cheh Chang (beregu campuran).

Ditanya mengenai pandangan awalnya berhubung kem negara, Choong Hann menambah: "Berdasarkan beberapa keputusan beberapa bulan kebelakangan ini, saya fikir fokus saya akan lebih tertumpu kepada perseorangan dan beregu lelaki.

"Terdapat beberapa pemain muda berbakat yang menunjukkan perkembangan yang baik, jadi kami perlu melihat cara untuk memastikan mereka ini terus meningkat.

"Untuk perseorangan wanita, Goh Jin Wei turut menunjukkan prestasi baik, sementara beregu campuran juga tidak kurang baiknya."

Walaupun meninggalkan badan induk itu 10 tahun lalu, Choong Hann tidak asing dengan arena badminton negara, apatah lagi pada awal tahun ini beliau dipilih menjadi sebahagian daripada Panel Pembelajaran Kejurulatihan (CEP) bersama seorang lagi legenda, Rashid Sidek.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 8:21pm
d