arena

Leandro mahu halang Lee Tuck!

Oleh Azizan Hashim

IPOH: Bintang import Perak, Leandro Dos Santos berharap dia mampu menjadi penghalang hajat Terengganu FC (TFC) pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

“Saya akan cuba halang jentera tengah TFC khususnya Lee Tuck daripada melakukan sebarang kemusnahan,” katanya.

Pemain yang sebelum ini tenggelam dalam arus perlawanan gara-gara kecederaan sudah mendapat rentak untuk kembali menjadi nadi pasukan The Bos Gaurus terutama dalam kempen Piala Malaysia.

Bersama dua rakan senegara, Gilmar Da Silva Filho dan Wander Luiz, trio itu mewujudkan gandingan mantap untuk membantu Perak mara ke final.

“Kami hilang rentak seketika hingga menyebabkan peminat mengecam kami dengan teruk sekali. Bagaimanapun kritikan berlalu selepas kami membantu kejayaan Perak,” katanya.

Begitupun Leandro sedar dia perlu memainkan peranan lebih besar Sabtu ini kerana hanya dia pernah beraksi pada final Piala Malaysia sebelum ini manakala pemain lain rata-rata tidak berpengalaman.

Pemain yang akan mencecah usia 32 tahun dua hari selepas final, pernah memenangi pingat juara Piala Malaysia ketika bersama Selangor pada 2015 dan berharap meraih kejuaraan kali kedua.

“Pasukan ini terdiri daripada pemain muda dan tiada pengalaman bermain pada perlawanan akhir. Oleh itu, saya, Gilmar dan Wander perlu membimbing rakan lain mengharungi suasana perlawanan ini dan berharap kami berjaya,” katanya.

Profil

Nama penuh: Leandro Dos Santos Oliveira

Tarikh lahir: 29 Oktober 1986 (umur 31)

Tempat lahir: Niteroi, Brazil

Tinggi: 1.78m

Posisi: Penyerang/pemain tengah

Nombor jersi: 8

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 8:38pm
d