arena

Roma mengganas

ROME: Penyerang AS Roma, Edin Dzeko menyertai bintang Barcelona, Lionel Messi menduduki tangga teratas senarai penjaring terbanyak Liga Juara-Juara musim ini selepas kelab Itali itu menewaskan CSKA Moscow 3-0 di Stadium Olimpik, awal pagi tadi.

Pemain Bosnia-Herzegovina itu menyumbat dua gol pada babak pertama untuk mengumpul keseluruhan lima gol dalam kempen elit Eropah itu setakat ini sebelum membuat umpanan bagi jaringan ketiga yang disempurnakan Cengiz Under.

Kemenangan dalam aksi Kumpulan G itu meneruskan rentak baik Roma dalam saingan Eropah di gelanggang sendiri.

Skuad kendalian Eusebio di Francesco tidak pernah tewas di Rome sekali pun mara ke peringkat separuh akhir musim lalu dan kekalahan terakhir dicatatkan di pentas Eropah adalah pada Februari 2017 ketika tumbang 0-1 kepada Villarreal dalam kancah Liga Europa.

Roma kini berkongsi enam mata bersama Real Madrid, kelebihan dua mata berbanding CSKA dan lima daripada Viktoria Plzen yang tewas 1-2 kepada juara Eropah itu di Sepanyol.

CSKA mempunyai memori duka pada kunjungan terakhir mereka ke ibu negara Itali itu pada 2014 apabila tewas 1-5 ketika Roma merekodkan kemenangan ketujuh berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara.

Mereka dijadual menanti kunjungan Real pada 27 November ini.

Roma mendahului selepas setengah jam perlawanan apabila gandingan Lorenzo Pellegrini dan Stephan El Shaarawy melorongkan bola kepada Dzeko yang kemudian menewaskan penjaga gol CSKA, Ilya Pomazun dari jarak dekat.

Tuan rumah menggandakan kelebihan dua minit sebelum rehat babak pertama juga berpunca daripada gerakan Pellegrini yang bijak memperdaya pertahanan CSKA sebelum El Shaarawy menghantar bola kepada Dzeko yang menyempurnakannya dari sudut sukar.

Dzeko sekali lagi terbabit dalam gol ketiga tuan rumah selepas lima minit perlawanan bersambung apabila hantaran jauhnya bijak disambut Under yang melepaskan penyudah berbisa. - Reuters

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 7:41am
d