arena

Young Boys raih mata sulung

BERN, Switzerland: Kelab Young Boys yang membuat penampilan sulung dalam Liga Juara-Juara menjaringkan gol pertama dalam kempen elit Eropah ketika mengikat Valencia 1-1, awal pagi tadi.

Michy Batshuayi meletakkan Valencia di depan pada babak pertama - gol pertamanya dalam Kumpulan H tetapi disamakan Young Boys menerusi penalti pada babak kedua.

Keputusan menyaksikan kelab Sepanyol, Valencia yang mengharungi sembilan keputusan seri dalam semua kejohanan musim ini mengutip dua mata daripada tiga perlawanan untuk menduduki tangga ketiga manakala Young Boys tercorot. 

Juara Itali, Juventus mengungguli carta apabila mengutip sembilan mata maksimum selepas menewaskan Manchester United di Old Trafford.

Penjaga gol Young Boys, Marco Woelfli turut membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara di usia 36 tahun selepas menghabiskan sepanjang kariernya bersama kelab itu.

Bekas penyerang Chelsea, Batshuayi beberapa kali terperangkap ofsaid tetapi tidak melakukan kesilapan apabila berpeluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-26.

Penjaga gol Valencia, Neto menyelamatkan cubaan Christian Fassnacht menerusi tandukan dan rembatan Kevin Mbabu meliar sebelum tuan rumah mencipta kebangkitan selepas rehat.

Juara Switzerland itu akhirnya memperoleh gol yang dinanti-nantikan pada minit ke-55 apabila Djibril Sow dijatuhkan oleh Daniel Parejo di kawasan penalti dengan Hoarau tenang menyempurnakannya untuk melakar sejarah kecil dalam Liga Juara-Juara.

Sekou Sanogo hampir memberikan Young Boys kemenangan berharga tetapi tandukannya di minit-minit terakhir permainan tersasar. - Reuters

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 11:35am
d