arena

'Aksi United macam budak-budak'

Oleh Agensi

LONDON: Manchester United beraksi seperti ‘budak-budak melawan orang dewasa’ ketika tewas kepada Juventus dalam Liga Juara-Juara, kata bekas pemain Rio Ferdinand.

Seorang lagi legenda Red Devils, Paul Scholes mengatakan pasukan itu seperti sudah menerima yang mereka tidak cukup bagus untuk bersaing dengan kelab-kelab terbaik dunia.

Skuad kendalian Jose Mourinho mengharapkan kempen Eropah dapat menutup mulut pengkritik tetapi mereka sekali lagi longlai apabila bertemu lawan yang kuat apabila tewas 0-1 kepada Juventus menerusi jaringan Paulo Dybala.

Ferdinand percaya prestasi United tidak berada di tahap seperti diharapkan untuk kelab sebesar itu manakala Juve tidak perlu berusaha begitu kuat untuk membuktikan kemampuan mereka.

“Jika kamu perlu menggambarkan perlawanan ini dengan pendek dan padat, jadi ia adalah orang dewasa melawan budak-budak, jika saya perlu berkata dengan jujur,” kata bekas pertahanan United dan England itu.

“Juventus lebih berkualiti dalam segala segi, di setiap posisi permainan, bentuk, bagaimana mereka membawa diri, ketegangan dan kualiti bola.

“Ada perbezaan yang besar di antara kedua-dua pasukan dari sudut kualiti terhadap bola, ketenangan ketika memperoleh bola, pemahaman terhadap pengurusan permainan. Mereka (Juve) layak meraih kemenangan.”

Scholes juga bersetuju dengan sentimen berkenaan dan bagi pemain yang sudah menang segala-galanya bersama United, keputusan yang dicatat pasukan bimbingan Mourinho itu mengecewakan.

“Mereka (Juve) nampak seperti pasukan yang sudah lama bermain bersama,” kata Scholes dengan bekas pemain United, Cristiano Ronaldo baru saja menyertai kelab itu musim ini.

“Mereka membawa masuk beberapa pemain, tetapi kelas mereka dari sudut teknikal lebih tinggi. Mereka berada satu tahap lebih tinggi berbanding United.

“Perkara yang menyedihkan adalah wujud perasaan untuk menerimanya, bukan saja daripada United dan pemain-pemain, tetapi juga daripada peminat.”

Sebelum membuat kunjungan balas ke Turin dalam tempoh dua minggu, United perlu mengharungi saingan liga terlebih dulu menentang Everton dan Bournemouth.

 

 

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 2:53pm
d