arena

Rehat lah kau Ziyovuddin

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Tajikistan berdepan tamparan hebat selepas pemain tengahnya, Fuzaylov Ziyovuddin terpaksa diketepikan bagi baki kempen Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 yang sedang berlangsung di Indonesia.

Ia susulan kecederaan buku lali pemain itu pada aksi kedua Kumpulan D ketika bertemu Malaysia di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi malam tadi.

Perkembangan itu dimaklumkan Persekutuan Bolasepak Tajikistan menerusi laman rasminya, hari ini.

“Menerusi imbasan dilakukan, pasukan perubatan mendapati kecederaan dialami Fuzaylov tidak begitu serius.

“Tiada bahagian yang patah namun sendi buku lali kanannya terkehel. Bahagian yang tercedera sudah dipasang simen.

“Doktor mengganggarkan tempoh pemulihannya memakan masa dua bulan setengah,” kata persekutuan itu.

Pemain berusia 18 tahun itu mengalami kecederaan terbabit selepas dikasari pertahanan negara, Nabil Hakim Bokhari pada minit ke-83.

Pemerhatian awal menyaksikan kecederaannya tampak serius selepas melihat buku lalinya ‘terkulai’ sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital secara serta-merta.

Insiden itu menyebabkan Nabil dilayangkan kad merah sekali gus memaksa skuad negara beraksi dengan 10 pemain sebelum pemain Tajikistan, Nurmatov Khuseyn turut diarah keluar padang pada minit ke-87.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 2-2 sekali gus menyaksikan Tajikistan hanya perlu seri dengan Arab Saudi pada aksi terakhir untuk layak ke suku akhir manakala Malaysia perlu menang ke atas China untuk menghidupkan peluang.

 

 

 

 

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 4:58pm
d