arena

'Tiada masalah tanpa saya'

Oleh Jumiati Rosly

KUALA LUMPUR: Pemain hoki kebangsaan Mohammad Fitri Saari yakin rakan sepasukannya mampu muncul juara pada edisi kelima Trofi Juara-Juara Asia yang kini sedang berlangsung di Muscat, Oman. 

"Saya rasa di sana walaupun tanpa saya mereka boleh teruskan perjuangan, biarpun sebelum ini ada orang cakap permainan tidak akan sama tanpa saya,” kata Fitri.

"Dalam perlawanan kelmarin (menentang Korea Selatan), saya tengok walaupun tanpa saya mereka boleh bangkit kembali daripada ketinggalan 1-2 untuk melakar kemenangan 4-2. Jadi saya harap rakan-rakan di sana teruskan perjuangan dan muncul juara di Oman."

Tonggak utama skuad hoki negara itu mengambil keputusan untuk tidak menyertai skuad hoki negara bagi menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan selepas enam tahun menuntut di Universiti Malaya.

Selain Fitri, pakar pukulan sudut penalti, Razie Rahim juga tidak turut serta pada kempen kali ini disebabkan kecederaan hamstring. Ketua jurulatih baharu, Roelant Oltmans membariskan skuad campuran pada penampilan pertamanya mengemudi skuad negara.

Skuad Malaysian Tigers yang sebelum ini meletakkan sasaran awal untuk mara ke separuh akhir berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah apabila mengikat juara bertahan, India 0-0 awal pagi tadi.

Skuad negara yang sebelum ini sekadar berada di kedudukan ketiga dalam kesemua empat edisi terdahulu sudah menempah tiket ke pusingan separuh akhir biarpun berbaki satu lagi perlawanan peringkat kumpulan menentang Pakistan malam esok.

Selepas berakhirnya saingan di Oman, Fitri berkata dia akan terus membantu skuad hoki kebangsaan menghadapi Piala Dunia di Bhubaneswar, India pada November ini serta mengharungi kempen kelayakan untuk mara ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

 

 

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 6:44pm
d