arena

Peng Soon-Liu Ying kecundang

Oleh Fabian Peter

KUALA LUMPUR: Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menerima padah kerana kegopohan mereka apabila tersingkir pada pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Perancis hari ini.

Beregu campuran nombor satu negara itu, yang berharap membaiki pencapaian layak ke suku akhir pada Terbuka Denmark minggu lalu, gagal memenuhi harapan itu apabila kecundang 21-19, 18-21, 18-21 kepada gandingan Belanda, Robin Tabeling-Cheryl Seinen.

Ketua jurulatih beregu campuran Pang Cheh Chang mengakui pergerakan bulu tangkis yang perlahan turut menjejas permainan Peng Soon-Liu Ying.

Ketika dihubungi di Paris, Cheh Chang berkata: “Bulu tangkis di sini terlalu perlahan dan pemain memerlukan banyak tenaga untuk mengekalkan kualiti pukulan ketika permainan rali.

“Bagaimanapun pada set ketiga, Peng Soon-Liu Ying cuba mengurangkan jurang tapi mereka tidak sabar. Mereka mahu menamatkan perlawanan dengan cepat. Lawan mereka sebaliknya terus bermain rali dan memenangi perlawanan itu.”

Cheh Chang berkata, pasangan itu akan kembali ke Kuala Lumpur esok untuk meneruskan latihan sebelum bertanding pada Terbuka China dan Hong Kong bulan depan.

Awal pagi tadi, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mara ke pusingan kedua selepas menundukkan gandingan Amerika Syarikat, Phillip Chew-Ryan Chew 27-25, 21-17.

Beregu nombor dua negara itu akan menentang Han Chengkai-Zhou Haodong dari China esok bagi memburu tempat ke suku akhir.

Bagaimanapun rakan senegara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terkandas pada pusingan pertama apabila tewas 21-16, 17-21, 16-21 kepada Liao Min Chun-Su Ching Heng dari Taiwan.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 7:55pm
d