arena

Peluang Spurs, PSV malap

Oleh Reuters

EINDHOVEN: Kapten Luuk de Jong menjaringkan gol lewat permainan buat PSV Eindhoven untuk menjamin keputusan 2-2 di laman sendiri dengan Tottenham Hotspur awal pagi tadi.

Bagaimanapun keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan kini berdepan penyingkiran di Liga Juara-Juara.

Hirving Lozano membuka tirai jaringan buat PSV pada minit ke-29 dalam pertembungan Kumpulan B itu namun Lucas Moura pantas menyamakan kedudukan sebelum rehat babak pertama.

Harry Kane menanduk masuk jaringan pada minit ke-54 buat Tottenham dan membenarkan pasukan pelawat untuk mendahului saingan.

Perlawanan juga sedikit tercalar apabila penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris diarah keluar padang pada minit ke-79 dan PSV menggunakan peluang itu dengan De Jong melakukan penyudah pada minit ke-87.

Ini kali kedua dalam tiga perlawanan kumpulan yang menyaksikan Tottenham leka di saat akhir saingan, mendahului permainan 1-0 ketika menentang Inter Milan sehingga minit ke-85 sebelum tewas 1-2.

Keputusan seri itu meletakkan mereka kini hanya mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan, sama seperti juara Belanda, PSV, tatkala Barcelona mendahului kumpulan dengan sembilan mata.

Inter Milan berada di tangga kedua dengan enam mata selepas Barca menewaskan kelab Itali itu 2-0 di Camp Nou.

“Ia satu situasi di mana kami perlu berfikir, kerana dalam perlawanan seperti ini, pada ketika 2-1 kamu harus menamatkan permainan. Sekiranya tidak, lawan akan terus bernyawa,” kata pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino.

“(Peluang kami untuk layak) hampir musnah. Dengan hanya satu mata selepas tiga perlawanan, ia akan menjadi begitu sukar.”

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 7:57am
d