arena

Mana baki 28,000 tiket?

Oleh Baharom Bakar

KUALA TERENGGANU: "Mengapa hanya 2,000 keping tiket dijual? Ke mana hilang baki 28,000 keping tiket?

Demikian pertanyaan penyokong pasukan Terengganu FC (TFC) yang bengang berikutan hanya 2,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia berharga RM50 sekeping dijual, sedangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan sejumlah 30,000 keping diperuntukkan untuk Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT). 

Alias Abdullah, 57, dari Bukit Payong, Marang, pelik ke manakah baki 28,000 tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak, Sabtu ini. 

"Walaupun PBSNT sudah mengumumkan penjualan tiket hanya bermula jam 10 pagi ini, kami bersama lebih 2,000 penyokong termasuk dari beberapa daerah di negeri ini sanggup bermalam dan tidur di hadapan kaunter jualan tiket di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) sejak jam 10 malam tadi.

"Kami hampa dan kesal apabila dimaklumkan hanya 2,000 keping tiket berharga RM50 dijual pagi ini. Menghairankan ke manakah hilangnya baki seperti diperuntukkan FAM sebanyak 28,000 keping," katanya ketika ditemui di perkarangan SSINS, hari ini.

Seorang lagi penyokong yang enggan namanya dikenali mempertikaikan tindakan PBSNT menjual tiket secara pukal kepada beberapa kelab penyokong bola sepak dan persatuan belia serta persatuan bola sepak daerah di seluruh negeri ini.

Katanya, sepatutnya PBSNT mengehadkan tiket yang dibeli secara pukal oleh kelab penyokong bola sepak. 

"Tindakan PBSNT menjual tiket secara pukal dengan jumlah yang banyak kepada kelab penyokong, persatuan belia dan persatuan bola sepak di daerah punca utama tiket tidak mencukupi untuk penyokong lain, selain wujudnya penjualan tiket secara haram oleh ulat tiket," katanya.

Seorang lagi penyokong, Faiz Mohamad Nor, 27, dari Kuala Berang berkata, slogan diperkenalkan beberapa pemimpin kerajaan negeri iaitu bola sepak untuk semua hanya tinggal slogan apabila PBSNT mengutamakan pihak tertentu dalam penjualan tiket.

"PBSNT sepatutnya memeriksa dengan teliti jumlah sebenar berapa ramai ahli penyokong kelab bola sepak dan bukannya meluluskan permohonan yang ditempah secara membuta tuli.

"Tindakan PBSNT meluluskan tiket dengan jumlah banyak kepada kelab penyokong menyebabkan wujudnya ulat tiket yang menjual dengan mengenakan bayaran lebih tinggi kepada penyokong," katanya.

Sementara itu, jurucakap PBSNT ketika dihubungi mengesahkan hanya 2,000 keping tiket dijual di kaunter jualan tiket bermula jam 10.30 pagi tadi dan semua tiket habis dijual kira-kira jam 11.45 pagi.

Katanya, semua tiket yang ditempah oleh kelab penyokong, persatuan belia dan persatuan bola sepak daerah hanya diagihkan hari ini bagi mengelakkan wujudnya ulat tiket yang mengambil kesempatan menjual dengan harga yang lebih tinggi kepada penyokong.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 2:50pm
d