arena

Hentikan beri gol percuma!

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Dua sepakan penalti yang dihadiahkan kepada lawan dalam dua aksi yang diharungi sebelum ini mungkin mengundang kerisauan menjelang aksi hidup mati skuad bawah 19 (B-19) tahun negara menentang China pada Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 esok.

Pada aksi pembukaan bertemu Arab Saudi, lawan beroleh sepakan penalti selepas bola terkena tangan Anwar Ibrahim, namun ketangkasan Mohd Azri Ghani menafikan sepakan yang diambil Turki Al Ammar namun Malaysia tidak dapat mengelak daripada tewas 2-1.

Pada aksi kedua bertemu Tajikistan pula, Muhd Al Imran Abdul Halim memberikan sepakan penalti apabila mengasari Boboev Sheriddin namun kali ini, Mohd Azri Ghani gagal menyelamatkan sepakan penalti yang disempurnakan Ehsoni Panshanbe.

Justeru, Muhd Al Imran akan berusaha untuk memperaga corak permainan yang lebih berhati-hati bagi mengelak memberikan ‘gol percuma’ pada aksi penentuan di Stadium Pakansari, Cibinong, malam esok.

“Saya meminta maaf kepada rakan sepasukan kerana memberikan sepakan penalti pada aksi bertemu Tajikistan kerana jika tidak, sudah tentu kami boleh memenangi perlawanan terbabit.

“Saya akan memperbaiki kesilapan pada perlawanan yang akan datang. Mungkin perasaan gugup memberikan sedikit masalah kepada saya kerana aksi menentang Tajikistan adalah perlawanan pertama saya. 

“Tekanan di pertandingan ini sememangnya jauh berbeza dengan aksi B-19 Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) sebelum ini. Apapun, saya akan berusaha membantu pasukan meraih kemenangan ke atas China,” katanya.

Skuad bimbingan Bojan Hodak itu dilihat tidak memiliki kelebihan selepas hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan kerana bukan sahaja perlu menang selesa ke atas China namun perlu mengharapkan Arab Saudi meraih kemenangan selesa ke atas Tajikistan.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 6:29pm
d