arena

'Messi Ganu' sedia tawan Shah Alam

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Perancang bertubuh kecil Terengganu Mohd Faiz Mohd Nasir atau lebih dikenali 'Messi Ganu' sedia menawan Stadium Shah Alam Sabtu ini pada aksi final Piala Malaysia bertemu Perak.

Pemain yang hanya berketinggian1.56 meter itu sudah membuktikan faktor saiz badan bukan halangan buat dirinya untuk menguasai jentera tengah biarpun sering kali menjadi 'mangsa' pasukan lawan.

Malah pemain berusia 26 tahun itu juga sering kali diejek penyokong lawan kerana faktor fizikalnya, tetapi ia lebih menguatkan mentalnya untuk mempamerkan aksi terbaik setiap kali diturunkan.

"Ini final pertama saya dalam piala berprestij ini, sebelum ini hanya muncul juara Piala Presiden,” kata Faiz yang beraksi cemerlang ketika menyingkirkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) di separuh akhir Sabtu lalu.  

"Jika jurulatih sekali lagi memberi tugas sebagai perancang, sudah pasti saya mahu lakar sejarah peribadi dan pasukan, tapi kerja ini bukan mudah namun tidak sukar sekiranya rakan sepasukan saling membantu."

Faiz yang membentuk gandingan mantap bersama bintang import England, Lee Tuck adalah nadi jentera tengah skuad Penyu musim ini.

Bercakap mengenai aksi final, pemain berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu mahu menamatkan penantian 17 tahun skuad Penyu untuk muncul juara piala berprestij itu dalam tempoh 90 minit.

"Jika boleh kami tidak mahu kemenangan nanti ditentukan melalui sepakan penalti kerana sedar peluang itu 50-50, oleh sebab itu saya mahu menamatkan penantian itu dalam masa sebenar," katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 8:40pm
d