arena

Welbeck wira Arsenal

Oleh AFP

PARIS: Danny Welbeck menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk membantu Arsenal menang 1-0 ke atas Sporting Lisbon pada saingan Liga Europa awal pagi tadi, manakala juara tujuh kali, AC Milan tewas di laman sendiri di tangan Real Betis.

Penyerang England, Welbeck meledak gol kemenangan pada minit ke-78 di Portugal selepas memanfaatkan kesilapan bekas pertahanan Liverpool, Sebastian Coates sekali gus menyaksikan Arsenal meraih kemenangan ketiga dalam tiga perlawanan Kumpulan E.

Anak buah Unai Emery kini sudah meraih 11 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan - pencapaian terbaik kelab itu sejak 2007 - dan kini berada di landasan tepat untuk mara ke pusingan 32 terbaik Liga Europa.

Sementara itu, Milan yang dikendali Gennaro Gattuso tercicir mata pertama dalam Kumpulan F apabila jaringan Antonio Sanabria dan Giovani Lo Celso, yang dipinjamkan dari Paris Saint-Germain, membolehkan Betis menang 2-1 di Itali.

Patrick Cutrone menjaringkan gol sagu hati buat Milan yang menamatkan aksi dengan 10 pemain selepas Samuel Castillejo dilayangkan kad merah pada masa kecederaan.

Olympiakos menewaskan Dudelange dari Luxemburg 2-0 dalam satu lagi aksi kumpulan sama manakala juara Scotland, Celtic mengalami kekecewaan di Jerman.

Penyerang Brazil, Matheus Cunha dan pemain sayap Portugal, Bruma - yang menjaringkan gol ketika menentang Scotland pada aksi persahabatan bulan ini - masing-masing menemui penyudah pada babak pertama bagi membantu RB Leipzig menang 2-0.

Salzburg meraih kemenangan ketiga berturut-turut untuk kekal di puncak Kumpulan B apabila Munas Dabbur meledak dua gol bagi menewaskan Rosenborg 3-0.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 7:30am
d