arena

Loftus-Cheek ledak hatrik

Oleh AFP

PARIS: Ruben Loftus-Cheek memanfaatkan kepercayaan diberikan Chelsea dengan menjaringkan hatrik sekali gus menyaksikan kelab London itu menewaskan BATE dari Belarus 3-1 pada aksi Liga Europa, awal pagi tadi.

Loftus-Cheek, yang berada dalam skuad England pada Piala Dunia Russia, hanya tampil dalam kesebelasan utama buat kali kedua musim ini di bawah kendalian Maurizio Sarri dan meledak dua gol dalam tempoh lapan minit pertama ketika Chelsea menguasai aksi di laman sendiri, Stamford Bridge.

Pemain tengah berusia 22 tahun itu merembat leret hantaran silang Davide Zappacosta untuk membuka tirai jaringan Blues selepas dua minit sebelum menambah gol kedua apabila dia menampan masuk sepakan sudut.

Dia melengkapkan hatrik dengan tendangan lencong dari luar kotak penalti pada minit ke-54 manakala BATE menjaringkan gol tunggal menerusi Aleksei Rios pada minit ke-79.

“Satu perasaan yang amat bagus,” kata Loftus-Cheek selepas muncul pemain pertama Chelsea menjaringkan hatrik dalam saingan Eropah sejak kali terakhir dilakukan Didier Drogba, 12 tahun lalu.

“Ia hatrik pertama saya sejak sekian lama, malah sejak bermain dengan pasukan remaja. Rasa terlalu seronok.

“Mana-mana pemain akan memberitahu anda bagus untuk menjaringkan hatrik dan ia sesuatu yang menggembirakan. Saya akan menandatangani bola dan meletakkannya dalam kotak kaca. Mudah-mudahan banyak lagi akan menyusul selepas ini.”

Tiga kemenangan daripada tiga perlawanan Kumpulan L dengan sembilan mata meletakkan Chelsea di laluan tepat untuk mara ke pusingan 32 terakhir pertandingan itu.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 7:41am
d