arena

Pakej final cekik darah

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop dan Azizan Hashim

IPOH: Kemarahan penyokong Perak yang gagal membeli tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Perak dan beberapa daerah lain memuncak berikutan penularan gambar pakej rombongan sekumpulan individu di Facebook yang turut menawarkan tiket berkenaan.

Selain tiket, pakej berharga RM120 seorang ditawarkan membabitkan tambang bas dan baju T eksklusif final Piala Malaysia dengan penyokong membeli tiket perlu berkumpul di Arena Rakyat Tualang Sekah dan Masjid An-Nur Kampar di Kampar jam 2 petang esok untuk ke Stadium Shah Alam.

Menerusi poster pakej rombongan itu, penganjur memaklumkan tidak menjual tiket saja, sebaliknya perlu membeli secara pakej dan turut memaparkan gambar seorang lelaki memegang tiket yang banyak.

Persoalan yang timbul kini, bagaimana kumpulan berkenaan mendapatkan jumlah tiket yang banyak sedangkan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) pada mulanya hanya menjual 10 tiket bagi setiap pembeli dan kemudian diturunkan lagi kepada lima berikutan hanya berbaki sedikit.

Sehingga malam tadi, pakej berkenaan masih dibuka kepada penyokong dan perkara itu menimbulkan tanda tanya kepada mereka berkaitan pengagihan tiket dilakukan PAFA.

Unit Sukan NSTP kemudiannya cuba mendapatkan penjelasan Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengenai viral poster serta gambar lelaki memegang tiket berkenaan kerana tindakan itu boleh mengundang kemarahan penyokong.

Hasnul Zulkarnain menjelaskan, pihaknya menyedari kewujudan pakej berkenaan dan mengakui PAFA ada meluluskan penjualan tiket secara pukal kepada beberapa kelab penyokong yang berdaftar sebelum ini terutama kelab penyokong dari Lembah Klang untuk diagihkan di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, namun beliau tidak pasti sama ada kelab yang mendapat kemudahan itu menyediakan pakej seperti yang tular itu.

Hasnul Zulkarnain bagaimanapun mengakui lelaki yang memakai kemeja dalam gambar yang turut dimuat naik bersama poster oleh pemilik akaun facebook itu adalah wakil jualan PAFA di daerah Gerik dan bukannya pembeli tiket serta ejen yang melakukan rombongan itu.

"Berkenaan dengan penjualan tiket itu, memang kami pun tidak boleh kawal, cuma ada satu gambar viral kakitangan kerajaan pakai kemeja, dia adalah wakil jualan kita (PAFA) di Gerik.

"Dia ambil gambar (bersama tiket yang banyak) tak tahu apa tujuannya, dia sebenarnya adalah wakil penjual dan bukannya pembeli, saya minta maaf kepada penyokong yang tidak dapat beli tiket," katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 7:43pm
d