arena

Gladbach terlepas takhta liga

Oleh Reuters

BERLIN: Borussia Moenchengladbach tumpas 1-3 di Freiburg awal pagi tadi sekali gus mengalami kekalahan pertama dalam lima perlawanan serta terlepas peluang merampas tangga teratas Bundesliga Jerman.

Keputusan itu mengekalkan Gladbach di tangga kedua dengan 17 mata, tiga mata di belakang pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund, yang beraksi menentang Hertha Berlin malam ini, dan terikat dengan pasukan tangga ketiga Werder Bremen.

Juara bertahan Bayern Munich, di tangga keempat dengan 16 mata, bertandang ke Mainz 05 hari ini.

Pemain Freiburg, Luca Waldschmidt meraih sepakan penalti pada minit pertama dan Nils Petersen tidak berdepan masalah untuk menyempurnakannya bagi membantu tuan rumah mendahului.

Gladbach bagaimanapun turut mendapat sepakan penalti menerusi Thorgan Hazard pada minit ke-20 untuk menyamakan kedudukan selepas percubaannya terkena palang dan menekan hebat Freiburg.

Pelawat mengendurkan tekanan selepas rehat, membolehkan Freiburg meledak sekali lagi apabila Waldschmidt merembat masuk pada minit ke-57.

Mereka menambah gol pada masa kecederaan apabila Lucas Hoeler merembat masuk dari jarak 40 meter selepas mendapati penjaga gol Gladbach, Yann Sommer keluar dari kawasan golnya.

Disiarkan pada: October 27, 2018 @ 7:54am
d