arena

'Mujur jantung saya kuat' [METROTV]

Oleh Mohd Khairie Khalid

 

SHAH ALAM: Aksi final Piala Malaysia antara Terengganu (TFC) dan Perak yang berlangsung di Stadium Shah Alam sebentar tadi bakal dikenang sebagai antara perlawanan akhir terbaik dalam sejarah kancah bola sepak tempatan.

Hakikat itu diakui jurulatih The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic selepas menyaksikan aksi final yang memiliki segala ‘rencah’ yang diperlukan untuk menjadi perlawanan final yang akan diingati sampai bila bila.

“Perlawanan yang begitu menakjubkan. Kami ketinggalan namun berjaya bangkit jadi ini menunjukkan betapa anak buah saya sama sekali tidak akan menyerah kalah,” kata Durakovic pada sidang media selepas tamat perlawanan.

“Jadi pujian harus diberikan kepada barisan pemain. Saya gembira dengan kejayaan ini dan biarlah saya menikmatinya bersama keluarga saya.

“Kebangkitan, jaringan gol, kad merah dan kontroversi, semuanya cukup. Mujurlah jantung saya begitu kuat untuk mengharungi perlawanan ini sehingga wisel penamat.”

Terdahulu, Perak menamatkan penantian 18 tahun menjulang Piala Malaysia dan menambah gelaran kelapan apabila menewaskan skuad Penyu 4-1 menerusi sepakan penentuan penalti selepas terikat 3-3 pada aksi final sebentar tadi.

Ini mengulangi kejayaan yang dilakar Perak pada 20 tahun lalu apabila menewaskan lawan sama juga menerusi sepakan penentuan penalti 5-3 selepas terikat 1-1 pada final edisi 1998.

Kemenangan ini nyata begitu manis selepas anak buah Durakovic itu terpaksa bangkit selepas ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama dan sekali lagi ketinggalan pada masa tambahan sebelum mengheret perlawanan ke sepakan penalti penentuan.

Disiarkan pada: October 28, 2018 @ 1:21am
d