arena

'Kami hilang dua mata...'

Oleh AFP

BERLIN: Pemain tengah Jerman, Mario Goetze mengakui keputusan seri 2-2 antara Borussia Dortmund menentang Hertha Berlin di laman sendiri semalam dirasakan seperti kekalahan selepas pendahulu Bundesliga itu melepaskan gol pada masa kecederaan.

Bintang muda England, Jadon Sancho menjaringkan gol pada kedua-dua babak tatkala Dortmund cuba memburu kemenangan ketujuh berturut-turut dalam semua pertandingan namun semuanya berkubur selepas Salomon Kalou menyempurnakan penalti pada minit ke-91 di Signal Iduna Park.

“Jika anda lihat perlawanan hari ini, ia sebenarnya seperti kami kalah. Kami hilang dua mata. Kami tidak menyempurnakan peluang yang ada pada separuh masa kedua.

“Kami bekerja dalam satu kumpulan tapi buat kali pertama ia tidak menjadi dan kami kurang efisyen dengan peluang yang ada,” kata Goetze, yang melakukan hantaran cantik kepada Sancho bagi jaringan pembukaan Dortmund pada minit ke-27.

Dortmund dihukum pada minit akhir selepas pertahanan, Dan Axel Zagadou menjatuhkan penyerang Hertha, Davie Selke dalam petak penalti dan Kalou menyudahkannya.

“Kami sudah merancang sesuatu yang istimewa tapi dari segi keberanian kami masih lagi kurang. Bagaimanapun, ia semakin sempurna selepas kami melepaskan gol pertama. Kami banyak melakukan perubahan dan amat mahukan satu mata, jadi anda boleh lihat sendiri kami berhak meraihnya,” kata jurulatih Hertha, Pal Dardai. - AFP

Disiarkan pada: October 28, 2018 @ 12:18pm
d