arena

'Hilang' Tchetche, penyudah jadi tumpul

Oleh Naqib Nor Said

TERENGGANU FC (TFC) boleh melenyapkan lebih awal sisa perjuangan Perak jika tidak kerana ketumpulan jentera serangan sekali gus membunuh impian mereka untuk menamatkan penantian 18 tahun Piala Malaysia.

Perkara itu diakui pengendalinya Irfan Bakti Abu Salim yang tidak dapat menahan diri selepas melihat anak buahnya mensia-siakan banyak peluang terutama di babak pertama.

Malah, beliau turut tidak menafikan pasukannya terlalu bergantung kepada Kipre Tchetche dan kehilangan khidmat awang import dari Ivory Coast itu di pertengahan aksi akibat kecederaan jelas merencatkan rentak skuad Peteh.

“Kami bukan sudah merasa terlalu selesa, tetapi kami sebenarnya terlalu bergantung kepada Tchetche untuk menjaringkan gol,” katanya selepas diajukan pertanyaan sama ada TFC sudah terlalu selesa dengan dua gol awal.

“Kalau kita perhatikan jika K Partiban dan juga Malik Arif tidak mensia-siakan peluang, kami sepatutnya sudah ‘membunuh’ Perak di babak pertama.

“Mungkin kita sekurang-kurangnya boleh ‘membunuh’ mereka 3-0 dengan peluang terbaik yang dilepaskan hadir menerusi percubaan satu lawan satu Malik Arif,” katanya.

Kehebatan TFC bagaikan sukar dibendung pada 45 minit pertama apabila mendominasi permainan termasuk mendahului selesa 2-0 hasil dua jaringan Tchetche.

Namun, kealpaan untuk membenarkan lawan bangkit dua kali dalam perlawanan yang berlanjutan ke penentuan penalti itu menyaksikan skuad Pantai Timur itu akhirnya pulang tangan kosong.

Bagaimanapun, Irfan, 67, tetap memuji persembahan anak buahnya biarpun terpaksa akur dengan kekalahan 1-4 menerusi penalti selepas terikat 3-3 dalam aksi sebenar dengan skuad kendalian Mehmet Durakovic itu.

“Kami tidak kalah sebenarnya, kami hanya kalah dalam mendapatkan piala dan saya tetap memuji persembahan barisan pemain TFC.

“Penentuan penalti adalah seperti loteri, dan elemen tuah tidak bersama kami malam ini (semalam),” katanya yang turut tidak menolak kehilangan Lee Tuck di babak kedua akibat layangan kad merah turut menjejaskan bahagian tengahnya.

Disiarkan pada: October 28, 2018 @ 5:53pm
d