arena

Netizen setuju pengadil gagal

Oleh Naqib Nor Said

DALAM hanya satu malam, nama Suresh Jayaraman menjadi sebutan netizen ekoran beberapa keputusan kontroversi ketika mengadili final Piala Malaysia 2018 antara Terengganu FC (TFC) dan Perak, semalam.

Pada aksi di Stadium Shah Alam, Suresh, 30, membuat beberapa keputusan yang boleh dipertikaikan antaranya membatalkan gol tandukan yang dihasilkan Leandro dos Santos pada minit ke-32 dan Gilmar da Silva pada babak kedua.

Justeru, netizen menyifatkan mutu pengadilan bagi perlawanan kali ini amat teruk dan ini disokong berdasarkan undian umum yang dibuat di dua platform laman sosial di BH dan Harian Metro.

Berdasarkan undian di laman Facebook BH Online sejak 11 pagi hingga 7.30 malam ini, sebanyak 87 peratus bersetuju bahawa pengadil itu gagal mengendalikan aksi final itu dengan baik dengan sebaliknya 13 peratus membabitkan 8,548 undian.

Situasi sama disaksikan menerusi undian di platform Twitter BH apabila 88 peratus bersetuju sementara 12 peratus tidak bersetuju membabitkan 1,222 undian.

Sementara itu, undian di laman Facebook Harian Metro daripada lebih 5,100 undian, 89 peratus pelayar bersetuju sementara 11 peratus tidak bersetuju dengan pendapat itu.

Undian di platform Twitter HM pula menyaksikan 86 peratus bersetuju sementara 14 peratus tidak bersetuju dengan menganggap Suresh berjaya mengendalikan perlawanan itu dengan baik membabitkan keseluruhan 1,138 undian.

Disiarkan pada: October 28, 2018 @ 8:32pm
d