arena

Chelsea menang selesa di Burnley

Oleh Reuters

CHELSEA melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 4-0 di Burnley, malam tadi, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

Kelab London itu kini hanya dua mata di belakang Liverpool dan satu mengatasi penyandang juara Manchester City yang berpeluang memintas kembali kedua-dua pasukan teratas itu sekiranya menang di Tottenham Hotspur esok.

Skuad kendalian Maurizio Sarri tampil tanpa Eden Hazard, dan tempatnya diisi Willian yang menyumbang satu gol dan satu percubaannya terkena tiang.

Penyerang Sepanyol Alvaro Morata meletakkan Chelsea di depan pada pertengahan babak pertama yang menyaksikan dia berpeluang meledak tiga gol.

Pemain tengah England Ross Barkley membuat umpanan untuk gol berkenaan dan menjaringkan gol kedua Chelsea dari luar kotak penalti di awal babak kedua.

Pemain Brazil, Willian melencong bola melepasi penjaga gol Burnley Joe Hart untuk gol ketiga tiga minit kemudian sebelum pemain gantian Ruben Loftus-Cheek melengkapkan kemenangan dalam masa kecederaan.

Disiarkan pada: October 28, 2018 @ 11:52pm
d