arena

Mertens penyelamat Napoli

Oleh AFP

ROME: Dries Mertens meledak gol penyamaan di minit akhir perlawanan untuk membantu Napoli seri 1-1 bertemu AS Roma, sekaligus membantu skuad bimbingan Carlo Ancelotti mengejar Juventus di carta teratas Serie A, dengan kelebihan enam mata.

Selepas membenarkan Paris Saint-Germain (PSG) bangkit di saat akhir pada minggu lalu, ketika seri 2-2 dalam saingan Liga Juara-Juara di Parc des Princes, kali ini Napoli melakukan perkara sama memburu mata berharga sehingga tamat perlawanan.

Jaringan awal Stephan El Shaawary memberi bayangan awal Roma mampu mengalahkan tuan rumah namun, pemain antarabangsa Belgium, Mertens berjaya mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-90 untuk membolehkan Napoli berkongsi satu mata.

Penyandang juara, Juventus pula mengekalkan rentak terbaik selepas Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol, termasuk rembatan dari jarak 22 meter untuk menumpaskan Empoli, 2-1.

Bagaimanapun, naib juara musim lalu, Napoli masih belum tumpas selepas lima perlawanan dalam semua pertandingan sejak kali terakhir mereka tewas 1-3 kepada Juventus pada September lalu.

Selepas beberapa saat Edin Dzeko melakukan percubaan jarak jauh yang sedikit tersasar, El Shaarawy meletakkan Roma di depan pada minit ke-14, melalui jaringn ketiganya pada musim ini.

Dzeko gagal menyambut hantaran rendah pemain sayap Turki, Cengiz Under namun El Shaarawy yang berusia 26 tahun berada di posisi tepat untuk menolak masuk bola ke dalam gawang walaupun Kalidou Koulibaly cuba menyelamatkannya di atas garisan gol.

Tuan rumah segera bangkit untuk mencari gol penyamaan, namun penjaga gol Roma, Robin Olsen berjaya menyekat dua percubaan berbahaya Arkadiusz Milik dan Marek Hamsik.

Napoli berjaya menguasai perlawanan pada separuh masa kedua, namun bergelut untuk menyempurnakan peluang termasuk dua percubaan yang dilakukan Mertens didapati ofsaid.

Bagaimanapun, pemain sayap berusia 31 tahun itu mengambil kesempatan di atas kesilapan Jose Callejon untuk melakukan rembatan ke dalam gawang dan ia adalah jaringan kelimanya musim ini.

Dalam aksi lain, Gonzalo Higuain menjaringkan gol penyamaan sebelum Suso meledak jaringan kemenangan pada separuh masa kedua untuk membantu AC Milan kembali pada landasan tepat dalam saingan Serie A, dengan mengalahkan Sampdoria, 3-2.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 11:46am
d