arena

'Mereka mengaibkan TFC'

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri kesal dengan insiden dua pemain import Perak melakukan provokasi melampau dengan aksi tarian lucah di depan pemain import Terengganu FC (TFC), Igor Zonjic pada masa tambahan waktu kecederaan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Tindakan biadab dan memalukan yang dilakukan Wander Luiz dan Leandro Dos Santos itu bukan saja mengaibkan (Zonjic) tetapi juga skuad TFC, persatuan dan seluruh penyokong skuad Penyu serta peminat bola sepak tanah air.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insiden itu tidak harus berlaku apatah lagi disaksikan jutaan peminat termasuk lebih 80,000 penyokong yang membanjiri stadium itu.

“Kerajaan negeri kesal dengan insiden memalukan itu apatah lagi perlakuan itu sengaja dilakukan mungkin untuk membangkitkan kemarahan pemain itu (Zonjic) dan juga skuad TFC.

“Lebih menyedihkan perlakuan itu dilakukan di depan pemain import TFC yang ketika itu berada dalam kesedihan sambil disaksikan beberapa pemain lain.

“Seharusnya dua pemain import itu bijak mengawal emosi kegembiraannya dengan tidak melakukan aksi yang memalukan kerana banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan selain perlu menonjolkan semangat kesukanan yang tinggi.

“Perlakuan itu bukan saja menimbulkan rasa kurang senang dalam di kalangan pemain dan penyokong skuad Penyu, tetapi turut mencemarkan imej bola sepak negara,” kata Wan Sukairi.

Insiden itu berlaku selepas Zonjic tertampan bola masuk ke gawang sendiri ketika masa permainan hanya tinggal beberapa saat sebelum ditamatkan pengadil perlawanan, Suresh Jayaraman.

Pada perlawanan penuh kontroversi itu, skuad The Bos Gaurus menjuarai piala berprestij itu hasil kemenangan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 sehingga masa tambahan.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil serius perkara ini bagi mengelak perkara sama tidak berlaku lagi.

“Ia juga sebagai pengajaran kepada pemain itu (Wander Luiz dan Leandro) serta kepada lain,” ujar Wan Sukairi.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 2:02pm
d