arena

Usah besarkan isu kecil: Durakovic

Oleh Azizan Hashim

IPOH : “Tidak perlulah diperbesarkan isu cara pemain Perak meraikan gol penyamaan ke atas Terengganu,” tegas jurulatih pasukan Perak, Mehmet Durakovic mengenai kontroversi pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu,

Pandangan pengendali pasukan The Bos Gaurus itu disuarakan kerana beliau yakin, ia berlaku secara spontan tanpa sebarang niat menghina sesiapa.

“Saya tidak fikir Leandro (Dos Santos) dan Wunder Luiz berniat menghina pemain Terengganu yang tertampan bola ke dalam gawang sendiri itu.

“Ia tindakan spontan kedua-dua pemain dalam keghairahan mereka meraikan gol penyamaan kami.

“Tidak perlulah diperbesarkan isu ini. Tiada perbuatan di luar semangat kesukanan berlaku,” kata Durakovic ketika diminta mengulas isu yang dibangkitkan oleh kem Terengganu itu.

Dalam insiden pada minit ke-120 itu, Leandro dan Wunder dilihat melakukan aksi tarian lucah kepada pemain Terengganu, Igor Zonjic yang tertampan bola ke dalam gawang sendiri untuk mengikat kedudukan 3-3.

Akibat insiden itu, banyak pihak mendesak pihak berkepentingan terutama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tatatertib ke atas keduad-dua pemain berkenaan yang diangagp tidak beradab serta tidak memiliki semangat kesukanan.

Dalam pertembungan di pentas akhir itu, Perak meneruskan kebangkitannya dengan mengatasi lawan 4-1 dalam pertandingan sepakan penalti untuk menjulang piala yang menjadi lambang keagungan bola sepak negara itu buat kali kelapan.

Durakovic berkata, semua pihak sepatutnya bersangka baik dan tidak cepat melatah serta membuat andaian seolah-olah Perak tidak menerapkan disiplin dan nilai murni dalam pasukan

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 2:17pm
d