arena

Tindakan Hafizul betul atau salah?

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Adakah penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy melakukan kesalahan apabila berada di dalam gol ketika penentuan penalti bertemu Terengganu FC (TFC) pada pentas akhir Piala Malaysia, malam tadi?

Ini kerana berdasarkan peraturan, penjaga gol perlu berada di atas garisan gol dengan menghadap pemain yang akan mengambil sepakan sehinggalah bola mula ditendang.

Jika berdasarkan peraturan dinyatakan, Hafizul dilihat melakukan kesilapan kerana tidak berada di atas garisan gol sekali gus menyaksikan tindakannya tidak sah dan pemain TFC perlu mengambil semula sepakan penalti.

Namun, situasi sama pernah berlaku pada Piala Dunia 2018 membabitkan aksi Kumpulan B antara Iran dan Portugal.

Penjaga gol Iran, Ali Beiranvand dilihat berada di dalam kotak penalti sebelum Cristiano Ronaldo mengambil sepakan penalti dan dia melompat keluar untuk menyelamatkan tendangan pemain itu.

Namun, pengadil perlawanan, Enrique Caceres tidak membatalkan tendangan itu meskipun Ali berada di dalam gol sebelum tendangan diambil sebaliknya meneruskan perlawanan seperti biasa.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan, sukar untuk menentukan sama ada tindakan Hafizul itu salah atau tidak.

“Terdapat kekeliruan dalam ‘frasa' menyebut seseorang penjaga gol perlu berada di atas garisan gol. Soalannya? Bila? Sebelum atau semasa sepakan?

“Pada tahun depan, Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) akan mengemaskini frasa ini supaya lebih tepat untuk difahami.

“Penjaga gol dalam kedua-dua insiden ini berada atas garisan gol sebaik sahaja bola disepak. Pada pandangan sesetengah pihak, ia adalah betul tetapi pada pandangan pengadilan ianya adalah salah. 

“Cuma ayat ini terbahagi dua, betul dan salah. Untuk itu, IFAB akan perlu dan akan kemaskinikan frasa ini,” katanya ketika dihubungi dari Auckland, New Zealand.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 9:18pm
d