arena

Real pecat Lopetegui

Oleh AFP

MADRID: Real Madrid memecat pengendalinya, Julen Lopetegui hanya selepas 139 hari mengendalikan kelab gergasi Sepanyol itu, umum kelab itu awal pagi tadi.

Lopetegui dilantik pada Jun lalu, namun selepas menempuh lima kekalahan dalam tujuh perlawanan, dengan yang terbaru dibelasah 5-1 oleh Barcelona, membuatkan Real membuat keputusan drastik untuk memecatnya.

Ketika ini, jurulatih pasukan B Real, Santiago Solari diberi tugasan sementara menguruskan skuad utama kelab berkenaan.

Keputusan itu diumumkan berikutan selepas mesyuarat lembaga pengarah kelab berkenaan, awal pagi tadi.

Kenyataan kelab itu berkata: "Keputusan ini, yang dibuat pihak atasan atas rasa tanggungjawab, bertujuan untuk mengubah nasib pasukan, ketika peluang masih terbuka untuk mencapai sasaran awal,”

“Lembaga pengarah memahami terdapat masalah daripada segi barisan kejurulatihan Real Madrid, apatah lagi seramai lapan pemain kita tercalon dalam anugerah Bola Emas. Ia sesuatu yang pernah terjadi dalam sejarah kelab ini berdasarkan keputusan yang diperolehi setakat ini."

Solari yang juga bekas pemain sayap Los Blancos akan mengemudi pasukan utama bermula hari ini, untuk persiapan mengharungi aksi Copa del Rey menentang Melilla, esok.

Sepanjang dua musim bersama Castilla, Solari berjaya mengemudi mereka menamatkan saingan Segunda Divisyen B di kedudukan ke-11 dan kelapan .

Difahamkan, bekas pengendali Chelsea, Antonio Conte menjadi calon utama sebagai pengganti tetap Lopetegui, walaupun perbincangan awal tidak berjalan lancar.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 8:10am
d