arena

'Mesti minta maaf'

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH), menggesa dua import Perak yang melakukan provokasi tarian lucah ke atas pemain Terengganu FC (TFC), Igor Zonjic pada perlawanan akhir Piala Malaysia, tampil memohon maaf.

Tindakan itu dilihat pendekatan paling baik untuk meredakan tekanan selepas isu berkenaan menjadi tumpuan peminat yang kurang senang dengan tindakan tidak sopan Wander Luiz dan Leandro Dos Santos.

Berikutan insiden itu, banyak pihak yang tampil menegaskan, ia mungkin dilakukan tanpa niat menghina, atau mungkin tanpa sedar kerana terlalu gembira meraikan gol penyamaan skuad Perak.

Namun, PETEH tetap mahukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) segera mengambil tindakan tegas berhubung kes itu, bagi mengelak perkara sama berulang atau menjadi barah di kalangan pemain bola sepak Liga Malaysia (Liga M).

Presidennya, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris, berkata pemain import skuad The Bos Gaurus yang sudah mencalar imej bola sepak Terengganu dan negara perlu bertanggungjawab sepenuhnya insiden memalukan itu.

"Kami meminta mereka yang sengaja melakukan aksi tidak beradab dan melanggar tatasusila masyarakat di negara ini supaya lebih bertanggungjawab.

"Jika mereka boleh melakukan aksi tarian lucah di depan jutaan peminat yang menyaksikan perlawanan itu dengan niat untuk memalukan Zonjic dan TFC, mereka juga perlu tampil memohon maaf secara terbuka.

"Saya percaya jika perlakuan itu (tarian lucah) dilakukan dalam liga luar negara, hukumannya ialah kad merah, bukannya kad kuning," katanya yang yakin perkara itu tidak akan berlarutan jika mereka mengakui kesilapan dan memohon maaf secara terbuka.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 10:46am
d