arena

Nasib menang walau padang teruk

Oleh AFP

LONDON: Pep Guardiola mendakwa kemenangan 1-0 Manchester City ke atas Tottenham awal pagi tadi menjadi lebih istimewa, gara-gara masalah padang yang teruk di Stadium Wembley.

Beraksi di padang Wembley yang berada dalam keadaan teruk, hanya 24 jam selepas digunakan untuk perlawanan NFL, City bernasib baik apabila menang menerusi jaringan tunggal Riyad Mahrez.

Ia adalah kemenangan keenam daripada tujuh perlawanan terakhir sekali gus menyaksikan skuad kendalian Guardiola yang belum tewas setakat ini memintas Liverpool di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL), berdasarkan kelebihan jaringan.

Dan pengurus City itu mengakui beliau amat lega dapat melihat pemainnya mampu menangani masalah padang.

“Ia adalah kemenangan yang hebat dalam suasana yang istimewa, menentang sebuah pasukan paling berfizikal di Eropah,” katanya.

“Ia bukan keadaan yang sesuai untuk bermain bola sepak. Kami menunjukkan tindak balas dengan baik. Untuk semua pemain kami dan juga Tottenham, semoga mereka segera menyelesaikan masalah ini pada masa akan datang.

“Ia adalah persoalan buat Liga Inggeris dan Tottenham. Kami dijemput bermain di sini dan semoga dapat mengatasi masalah ini.”

Guardiola sebelum ini memuji kemenangan City ke atas Shakhtar Donetsk dalam saingan Liga Juara-Juara minggu lalu, dengan menyifatkan ia sebagai terhebat sepanjang tempoh kendaliannya.

Dan persembahan pagi tadi jauh lebih teruk daripada apa yang diimpikannya, walaupun benteng City berjaya menyamai rekod enam perlawanan berturut-turut tanpa bolos.

“Kami mempunyai banyak peluang. Kami perlu menjaringkan gol, tetapi kami gagal melakukannya. Masih banyak yang perlu dipertingkatkan,” katanya.

Pada masa sama, pertahanan Tottenham, Toby Alderweireld turut menyelar permukaan padang di Wembley, apabila berkata: “Secara jujurnya, keadaan padang amat teruk.

“Kedua-dua pasukan gemar mengatur serangan bermula daripada bawah dan untuk beraksi dalam keadaan sebegini, ia menjadi begitu sukar.”  

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 12:01pm
d