arena

Federer buru ATP ke-100

Oleh AFP

PARIS: Roger Federer bersedia memburu gelaran ke-100 ATP di Paris Masters minggu ini dengan penganjur sudah mengumumkan ketibaan legenda Switzerland itu hari ini.

Ia juga adalah kali pertama dalam tempoh tiga tahun menyaksikan pemenang 20 gelaran Grand Slam itu membuat penampilan semula di acara terakhir Masters berkenaan.

Bintang Switzerland berusia 37 tahun itu masih segar dengan kejayaan memenangi gelaran ke-99 di Basel minggu lalu, namun tidak beraksi di Paris sejak tahun 2015 berikutan masalah kecederaan dan jadual padat.

Federer 'tiba esok' dalam satu tweet dikemaskini penganjur semalam. Dia akan berdepan sama ada Jo-Wilfried Tsonga atau Milos Raonic, esok.

Sementara itu, pemain Portugal Joao Sousa akan bertarung dengan Novak Djokovic di pusingan kedua selepas menjinakkan Marco Cecchinato 7-5, 6-3 dalam aksi pembukaan awal pagi tadi.

Cecchinato mengejutkan Djokovic dalam aksi suku akhir Terbuka Perancis, Jun lalu, namun hasrat pemain Itali itu untuk mencipta satu lagi pertembungan dengan Djokovic tidak kesampaian biarpun pada satu ketikanya di set pertama terikat 5-5.

Pilihan kedua, Djokovic adalah juara empat kali di Paris dan dalam usaha terakhir merampas semula ranking nombor satu dunia daripada Rafael Nadal minggu ini.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 2:44pm
d