arena

Wee Kiong bakal jadi bapa

Oleh Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong mengakui teruja untuk bergelar bapa selepas isterinya, Chia Shi Leng disahkan hamil dan dijangka melahirkan cahaya mata sulung mereka pada Mac depan.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama Wee Kiong mengakui tanggungjawabnya semakin besar apabila perlu menggalas tugas sebagai suami, bapa dan pemain badminton negara.

Wee Kiong menamatkan zaman bujangnya apabila mendaftarkan perkahwinannya bersama Shi Leng pada 12 Oktober 2016.

Katanya, usia kandungan isterinya kini sudah lima bulan dan ia berita yang memberi nafas baharu untuk kerjayanya selepas bergelut meraih gelaran juara bersama pasangannya, Goh V Shem dalam saingan tahun ini.

"Sudah pasti ini berita yang menggembirakan berbanding kerjaya saya yang kurang mendapat berita baik tahun ini. Ini memberi semangat baharu kepada saya untuk beraksi lebih cemerlang," kata Wee Kiong ketika ditemui selepas tamat sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

Wee Kiong, berkata fokus utamanya ketika ini adalah bagi melayakkan diri ke Jelajah Akhir Dunia BWF di Guangzhou, China pada 12 hingga 16 Disember depan.

Bagaimanpun, dia dengan V Shem perlu sekurang-kurangnya mara ke suku akhir Terbuka China bermula 6 hingga 11 November dan Terbuka Hong Kong (13 hingga 18 November) bagi mengumpul seberapa banyak mata yang boleh untuk melonjak dalam kelompok lapan terbaik ranking Jelajah Dunia Akhir BWF.

Wee Kiong-V Shem yang memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016 ketika ini menghuni ranking ke-13 Jelajah Akhir Dunia BWF dengan mereka terlepas mata kelayakan selepas tidak beraksi pada Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis susulan kecederaan dialami V Shem.

Selain memburu mata bagi layak ke Guangzhou, Wee Kiong, berkata mereka mahu menjadikan saingan Terbuka China dan Hong Kong sebagai medan bagi menamatkan kemarau gelaran juara dialami mereka tahun ini.

"Dalam kedudukan ranking, kami agak ketinggalan kerana tidak bermain dua kejohanan di Eropah (Denmark dan Perancis). Namun, peluang masih ada jika kami menghasilkan keputusan yang baik di China dan Hong Kong.

"Sasaran kami memang untuk layak ke Jelajah Akhir Dunia BWF tahun ini. Kami sedar tahun ini belum memenangi sebarang kejohanan tetapi kami belum putus asa. Selagi, masih ada kejohanan, kami akan terus berjuang," katanya yang mengakui banyak mendapatkan petua daripada rakan sepasukan seperti pemain beregu campuran, Chen Peng Soon bagi persediaan bergelar bapa.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 5:53pm
d