arena

Mat Yo idam kucup Piala AFF terakhir

Oleh Aziman Rosdi

KAJANG: Penyerang berpengalaman Norshahrul Idlan Talaha berharap penampilan terakhir di pentas Piala AFF 2018 bakal berakhir dengan kejayaan.

Pemain berusia 32 tahun itu yang mengumumkan tidak akan beraksi lagi di kejohanan AFF pada edisi akan datang berkata, dia akan cuba melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan pada penyertaan kelimanya sejak 2010.

“Saya harap ini akan menjadi Piala AFF terakhir,  jadi saya mahu menamatkannya dengan sesuatu yang manis,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan hari ini.

Norshahrul antara dua pemain paling berusia selain penjaga gol Farizal Marlias yang mendapat kepercayaan jurulatih Tan Cheng Hoe kali ini.

Dia yang mewakili Pahang adalah tonggak kejayaan Harimau Malaya merangkul kejuaraan sulung pada 2010.

Selepas lama dipinggirkan, Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo membuktikan kemampuannya dengan prestasi baik ketika tewas 0-1 kepada Kyrgzstan dalam aksi persahabatan antarabangsa 16 Oktober lalu.

Empat hari sebelum itu, dia menjaringkan satu gol untuk membantu Malaysia menewaskan Sri Lanka 4-1 di Colombo.

Bagaimanapun Norshahrul bakal berdepan saingan untuk merebut tempat dengan penyerang muda seperti Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Ahmad Hazwan Bakri dalam senarai 23 pemain ke Piala AFF bermula 8 November depan.

Sebelum itu skuad negara akan diuji dalam aksi pemanas badan terakhir menentang Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

“Untuk perlawanan dengan Maldives ini, mungkin saya akan bagi lebih daripada 100 peratus, saya harap rakan-rakan yang lain juga membantu saya Insya Allah apa yang kita buat dengan Tajikistan itu kali ini menjadi untuk mendapat keputusan positif,” katanya.

 

 

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 9:15pm
d